MALAYSIA
Operasi stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dilanjut hingga 1 pagi esok dan Ahad

Kakitangan tambahan akan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan kelancaran aliran trafik di stesen berkenaan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) melanjutkan waktu operasi stesen Masjid Jamek dan Pasar Seni hingga 1 pagi pada esok dan Ahad bersempena program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan kakitangan tambahan akan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan kelancaran aliran trafik di stesen berkenaan.
"Penumpang digalakkan menggunakan kad Touch 'n Go bagi perjalanan lebih lancar dan mengelakkan kesesakan.
"Bagi yang menggunakan token, disaran membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum meninggalkan stesen," menurut kenyataan itu.Rapid Rail turut memaklumkan stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen.
Penumpang disaran mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.
Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung pada 24 Ogos ini dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.
Antara pengisian acara itu ialah solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah, persembahan khas qasidah serta gimik perasmian pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza.
Acara itu kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad dengan antara tarikan utamanya ialah Terowong Masa VR Gaza iaitu sebuah inovasi kemanusiaan oleh MAPIM, pertunjukan belon panas, Festival Makanan Havoc, pameran pelbagai agensi, pelancaran Ensiklopedia Himpunan Projek Malaysia di Gaza (Gaza 101), Kids World Hall dan tayangan filem yang berkisarkan perjuangan Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami