KUALA LUMPUR: Bagi yang meminati telefon pintar boleh lipat, OPPO telah melancarkan OPPO Find N2 Flip yang dibina dengan skrin pintar luaran terbesar dalam pasaran, selain reka bentuk engsel pada skrin dalaman yang mengatasi masalah kesan rekahan.

Dengan dua ciri utama yang terdapat pada telefon pintar boleh lipat terkecil ini, OPPO Find N2 Flip menjanjikan pengalaman yang lebih menarik kepada pengguna.

Skrin luaran pada telefon yang dilancarkan di Singapura itu boleh dikawal dengan sentuhan jari, selain hiburan menawan hati dengan haiwan peliharaan maya yang tersedia pada skrin tersebut.

“Skrin luaran OPPO Find N2 Flip meliputi sebanyak 48.5% dari bahagian atas telefon.

Ia berkebolehan untuk dikendalikan dengan jari dan membolehkan pengguna memilih hiasan latar mereka, juga haiwan peliharaan maya serta membolehkan komunikasi yang lebih mudah hanya melalui skrin luaran.

Ini memberikan pengguna pengalaman yang lebih pelbagai dan bersifat peribadi.” kata pengurus produk OPPO Malaysia, Gordan Tok.



Menerusi ujian komprehensif yang dijalan pada skrin dalaman OPPO Find N2 Flip, reka bentuk engsel pada telefon itu juga dapat memastikan tiada rekahan selain mengurangkan kesan lipatan.

“OPPO Find N2 Flip memiliki reka bentuk engsel yang dinilai secara komprehensif dan memiliki pengiktirafan Pensijilan Lipatan Boleh Dipercayai TUV Rhineland.

Ia mampu bertahan selepas melalui 400,000 lipatan yang berterusan dan masih boleh digunakan oleh pengguna selama 10 tahun.

Ujian skrin dalaman dengan giroskop menunjukkan bahawa giroskop boleh bergerak dengan lancar merentasi skrin dalaman tanpa sebarang masalah.” jelas Gordan lagi.

Skrin utama pada bahagian dalam OPPO Find N2 Flip ini adalah bersaiz 6.8 inci apabila dibuka lipatannya dan menggunakan panel AMOLED (Fleksibel) 120 hertz, manakala skrin luaran atau bahagian depan adalah bersaiz 3.26 inci.

Ia datang dengan storan berkapasiti 256 gigabait dan RAM LPDDR5 8 gigabait, sementara kamera utama 50 megapiksel dan kamera hadapan 32 megapiksel.



Bagi yang berminat, anda boleh membuat tempahan bagi OPPO Find N2 Flip yang berharga RM3,999, dengan hadiah percuma bernilai RM637 terdiri daripada selongsong mudah alih poliuretana (PU), fon telinga OPPO Enco Air3 dan jaminan lanjutan setahun.

Selain itu, pembeli OPPO Find N2 Flip juga boleh mendapatkan perlindungan skrin OPPO Care dengan diskaun 50% daripada harga asal RM599.

Telefon lipat terkecil dengan skrin luaran terbesar