Skip to main content

Malaysia

Ops Ekstrem: Lima motosikal diubah suai milik individu antara yang disita JPJ

KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memeriksa salah sebuah motosikal yang disita dalam Op Ekstrem Motosikal pada sidang media hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Kifli memeriksa salah sebuah motosikal yang disita dalam Op Ekstrem Motosikal pada sidang media hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki berbelanja besar mencecah RM25,000 bagi mengubah suai lima motosikal secara ekstrem mengundang padah apabila kesemua kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dia ditahan lima kali sejak tahun lepas.

Lebih mengejutkan, tindakan individu berumur lingkungan 20-an itu turut menjejaskan ahli keluarganya apabila empat daripada lima motosikal itu merupakan milik bapa, adik serta ibu dan bapa saudaranya yang dipinjam sebelum diubah suai.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata motosikal kelima lelaki yang bekerja sendiri itu ditahan dalam Ops Ekstrem JPJ di sekitar ibu negara baru-baru ini, atas kesalahan pengubahsuaian struktur enjin, sistem brek serta penggunaan komponen tidak mengikut spesifikasi keselamatan.

"Dalam sidang media sebelum ini, saya gunakan pendekatan tegas, tetapi kali ini saya ingin merayu kepada penunggang hard core ini supaya henti melakukan tindakan yang tidak berfaedah ini.

"Bayangkan, lima motosikal yang kita tahan berada dalam simpanan kita ialah motosikal dia sendiri, bapa saudara, mak cik, bapa dan terbaharu motosikal adiknya. Kesemua lima motosikal ini sedang dalam proses dilucut hak dan bakal dilelong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Kifli berkata kesalahan pengubahsuaian ekstrem seperti menanggalkan brek belakang, menggunakan "tayar sotong", penukaran Unit Kawalan Elektronik (ECU) dan pengubahsuaian enjin bukan sahaja membahayakan nyawa, malah turut meningkatkan risiko kemalangan maut di jalan raya.

Beliau berkata sepanjang Ops Ekstrem yang dijalankan pada 8 dan 9 Ogos lepas, sebanyak 443 motosikal telah diperiksa dengan 336 daripadanya diambil tindakan, manakala 140 motosikal disita.

“Secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari hingga 10 Ogos tahun ini, JPJ telah melaksanakan 441 Ops Ekstrem di seluruh negara yang menyaksikan pemeriksaan terhadap 68,528 kenderaan dengan 18,534 daripadanya dikenakan tindakan dan 1,942 kenderaan telah disita,” katanya.

Beliau berkata JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 59(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] terhadap mana-mana pihak yang enggan mengembalikan spesifikasi asal kenderaan mereka.

Sementara itu, Muhammad Kifli berkata JPJ bakal mengadakan sesi libat urus buat kali pertama dengan penganjur RXZ Members bagi membincangkan aspek keselamatan dan kelancaran penganjuran program itu pada masa akan datang.

"Tujuan kita mengadakan sesi libat urus ini bukanlah untuk menyekat penganjuran program berkenaan, sebaliknya kita mahu mendengar pandangan penganjur serta memberikan cadangan penambahbaikan demi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan keselamatan semua pengguna jalan raya dipatuhi," katanya.

Sesi pertemuan itu dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya, esok.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement