KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan Ops Kesan bermula 1 Mac 2024.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu operasi itu bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam kepada lapan peratus.

Jelasnya, operasi itu akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Fokus pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

"Skop penguatkuasaan meliputi sektor terlibat kenaikan cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan.

"Ini termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu jelasnya, tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.