KUANTAN: Sebanyak 316 kenderaan diperiksa dan 112 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Rentas Sempadan yang diadakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bersama JPJ Terengganu dari 18 hingga 20 Ogos lepas.
Pengarah JPJ Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata operasi yang dijalankan selama tiga hari di sempadan daerah Kuantan dan Kemaman itu menyasarkan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan.
“Sebanyak 122 Notis Saman JPJ P(22) atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan manakala 180 notis lain turut dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merekodkan 43 kes berkaitan kesalahan membawa muatan berlebihan, termasuk tiga kenderaan perdagangan ditahan untuk pemeriksaan lanjut, terdiri daripada dua lori yang membawa muatan batu serta sebuah lori treler kargo am bermuatan besi bar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan itu membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had muatan yang dibenarkan,” katanya, sambil menambah kesemua tiga lori itu disita di bawah Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Syed Ahmad Khirulanwar berkata pelaksanaan operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ Pahang dan Terengganu bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pengangkutan jalan, khususnya berkaitan had muatan kenderaan perdagangan.
“Tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi membendung kesalahan membawa muatan berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan serta menyumbang kepada kerosakan jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
-- BERNAMA