MALAYSIA
Ops Tiris: KPDN Terengganu rampas kapal tunda, diesel bernilai lebih RM1 juta

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Musfi Lat, pada sidang media sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana 2025 di Stor Penyimpanan KPDN, Chendering, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebuah kapal tunda serta 47,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1.7 juta dalam Ops Tiris di jeti berhampiran Sungai Kuang, Kemaman, Sabtu lepas.
Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata dalam operasi pukul 3.45 pagi itu, lapan lelaki warga Indonesia berusia 20-an hingga 60-an dipercayai pekerja kapal turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihaknya menjalankan risikan selama lima bulan bagi mengesan sindiket yang membeli minyak diesel daripada kapal di perairan Laut China Selatan serta kapal yang berlabuh di jeti, sebelum menjualnya secara haram di pasaran gelap.
"Enam pegawai KPDN bersama lapan pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi."Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini membeli minyak diesel daripada kapal di Laut China Selatan dan di jeti menggunakan paip getah serta pam kargo, sebelum dijual di pasaran gelap," katanya ketika ditemui pada Program Pelupusan Eksibit Perdana KPDN Terengganu, di sini, hari ini.
Mohd Mufsi berkata pemeriksaan turut menemui tiga tangki penimbang kapal yang sepatutnya berisi air, namun diubah suai untuk menyembunyikan diesel.
Beliau berkata kapal terbabit juga tidak memiliki sebarang lesen atau permit daripada pegawai bekalan untuk menyimpan atau berurus niaga barang kawalan.
Katanya kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-dua sekali.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata program pelupusan eksibit berkenaan melibatkan pelbagai barang rampasan bernilai RM205,154.60 sepanjang tempoh 2023 hingga tahun ini.
"Antara barangan yang dilupuskan termasuk lori tangki, alat timbang, pakaian, beg, kasut tiruan serta aksesori telefon, selepas melalui prosiding mahkamah atau tindakan kompaun.
"Kesemua eksibit dilupuskan bagi memastikan ia tidak kembali ke pasaran sekali gus tidak memberi manfaat kepada pihak yang melakukan kesalahan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami