KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap hukuman ke atas bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JAS) Ag Mohd Tahir Mohd Talib yang disifatkan terlalu ringan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan rayuan itu difailkan pada 25 Mei lalu.
Dalam masa sama, SPRM turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan isteri Ag Mohd Tahir, Fauziah Piut, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng.
Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu mensabitkan Ag Mohd Tahir atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM49.7 juta.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan, dengan semua hukuman berjalan serentak.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM284.3 juta. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan selama 78 bulan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pembayaran denda sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi diputuskan, dengan syarat jaminan sedia ada dikekalkan.
Dalam prosiding sama, Fauziah dilepas dan dibebaskan daripada 19 pertuduhan melibatkan kira-kira RM2.2 juta, manakala Lim turut dilepaskan daripada empat pertuduhan melibatkan kira-kira RM2.3 juta.
Menurut SPRM, kes berprofil tinggi yang dikenali sebagai Ops Water ini bermula daripada siasatan yang dilancarkan pada Oktober 2016.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa pada 29 Disember 2016 sebelum melalui perbicaraan yang mengambil masa hampir satu dekad.
Mahkamah turut memerintahkan agar permohonan pelucuthakan harta di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA 2001 ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.
Status quo semua barang kes dikekalkan dan sebarang pemulangan harta hanya akan diputuskan selepas pelupusan rayuan di mahkamah lebih tinggi.