GUA MUSANG: "Cak! (Makan!)" sapa Along bin Itam, 73, kepada kami dalam bahasa Temiar ketika menjamu kami dengan sarapan di kediamannya pada hari terakhir kunjungan kami ke Kampung Bering, Pos Pasik.
Kami berada di kampung itu selama tiga hari bermula 12 Jun 2022.
Beliau yang memakai topi tradisi suku kaum Temiar yang diperbuat daripada daun palas terus mencapai jagung yang sudah dikukus. Ia antara hasil tuaian daripada Kebun Mandiri Orang Asli (#kebunmandiriOA) bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang diusahakan sejak Mac 2022.
"Belej! (sedap)," sambil tersenyum, Along mempelawa kami untuk makan jagung itu. Di samping itu ada nasi goreng dan teh panas.
"Nanti ikut pak cik masuk hutan ya, ada kebun di situ," kata Along yang mesra dipanggil Pak Cik Along. Rutin hariannya untuk memungut hasil hutan berhampiran dengan kampung itu.
Ketika itu memang rasa tidak sabar untuk saya dan tiga lagi rakan, Aslah dan Mikhail serta jurukamera, Shahrizan untuk melihat sendiri 'kebun dalam hutan' yang disebut oleh Pak Cik Along.
'KEBUN' DI SEBALIK HUTAN
Seperti kebanyakan 27 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bering, sumber pendapatan utama buat Pak Cik Along adalah memungut hasil hutan, selain berkebun dan menangkap ikan di Sungai Kenong berhampiran dengan kampung itu.
"Moh! (Jom)," ungkap Pak Cik Along.
Udara pagi yang begitu segar serta rimba yang menghijau mengelilingi perkampungan itu bagaikan memberi tenaga baharu kepada kami. Semakin tidak sabar untuk menjejak kebun yang terletak kira-kira 200 meter dari penempatan mereka itu.
Selepas menyelusuri semak samun dengan menyelak lalang sebelum sampai ke tapak kecil di hadapan sebuah bukit batu kapur, Pak Cik Along berhenti sebentar sambil kepalanya mendongak ke arah lubang yang membentuk sebuah gua kecil dalam bukit itu.
"Itu tempat 'orang besar' (gajah) suka berehat dan menyorok diri, mereka musuh kita dalam kampung ini," katanya sambil menambah, gajah merupakan 'musuh' gangguan utama kerana sering merosakkan harta benda dan tanaman, terutamanya pada waktu malam.
Setelah 30 minit meredah hutan, akhirnya kami tiba di kawasan 'kebun' milik Pak Cik Along yang terletak di seberang sungai kecil. Kami meniti dengan berhati-hati batu-batu yang ada di tengah sungai untuk sampai ke kebun Pak Cik Along.
"Ini pokok herba yang Pak Cik tanam di sini.. selang dua hingga tiga hari saya akan datang menjenguk kebun ini," Pak Cik Along menunjukkan sebuah tapak kecil yang penuh dengan daun-daun dan pokok-pokok kecil yang dilihat masih muda.
"Dulu masa tak ada pembalakan, kita tidak perlu menanam pokok-pokok dan daun herba ini, boleh sahaja kita bebas petik di mana-mana sahaja, tapi sekarang pembalak dah masuk dalam hutan, kita terpaksa tanam sebab bila-bila masa sahaja boleh hilang.
"Tumbuh-tumbuhan yang kami tanam selalunya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk tumbuh, bergantung kepada kesuburan tanah.. Selalunya saya akan datang tiga kali seminggu untuk bersihkan kebun dan tengok hasil tanaman di kebun ini," katanya sambil mencapai setangkai daun Mangsian untuk ditunjukkan kepada kami.
"Ini panggil daun Mangsian, kami rebus jadi ubat sakit perut dan demam panas," kata Pak Cik Along.
Carian penulis kemudiannya mengenai daun Mangsian ataupun dalam bahasa saintifik, Phyllanthus reticulatus ini mendapati ia tumbuhan liar dengan buah berwarna ungu kehitaman, kebiasaanya tumbuh di sepanjang aliran sungai atau di dalam hutan dengan ketinggian antara 800 hingga 2,000 meter.
HASIL HUTAN KIAN PUPUS
Menurut Pak Cik Along, masyarakat Orang Asli Temiar di kampung itu bergantung hampir 90 peratus daripada sumber hutan untuk kelangsungan hidup mereka.
"Dahulu kami gunakan daun pokok bertam untuk buat atap rumah, tak terlalu panas dan kalis air, tapi sekarang sudah pupus, sudah tiada dalam hutan. Kami terpaksa kutip atap aluminium yang dibuang oleh pembalak.
"Panas itu panas la sedikit, tapi apatah dayanya? Pembalak sudah kacau kawasan hutan dan tanah adat kita, sudah banyak yang hilang dan pupus.
"Kami terpaksa tanam balik apa yang kita kutip selama ini, itupun kadang-kadang kami khuatir juga 'orang besar' datang kacau sebab pembalak semua sudah teroka hutan di sini," katanya.
Riak wajah Pak Cik Along jelas kelihatan kecewa apabila berkongsi cerita tentang sikap para pembalak yang tidak menghormati tanah adat Orang Asli apabila melakukan aktiviti pembalakan berdekatan dengan kawasan penempatan mereka.
"Atuk saya yang lahir sejak zaman peperangan Jepun sudah berpesan kepada kami: Hutan-hutan yang ada di sini memang akan pupus suatu hari nanti disebabkan pembangunan, jadi kami kena tanam balik apa yang kita petik selama ini untuk elakkan daripada terpupus.
"Di kawasan hutan ini sebenarnya banyak pokok herba yang bermutu, macam kacip fatimah, tongkat ali yang memang berharga dan berkualiti, dulu senang sahaja kami nak masuk dan kutip apabila ada permintaan.
"Malah, upacara adat warisan turun-temurun kami iaitu 'Sewang' adalah wajib untuk mendapatkan daun-daun dari hutan, jika ia sudah pupus, mana kami mahu dapat? Sudah pasti adat warisan kami juga turut akan terjejas," katanya.
Upacara Sewang memerlukan bahan semulajadi daripada hutan berhampiran, dan sejak pembalakan bermula di kawasan sekeliling kira-kira 10 tahun lalu, semakin sukar untuk penduduk Kampung Bering mendapatkan bahan keperluan utama.
PERTAHANKAN KEINDAHAN KAMPUNG
Selepas lebih dua jam 'menerokai' kawasan kebun dan hutan bersama Pak Cik Along, kami kembali ke Kampung Bering dan duduk berehat di bangku kayu yang terletak di bawah pokok nangka. Bangku itu tempat 'lepak' buat -penduduk kampung itu.
Meskipun cuaca panas terik ketika tengah hari, namun berehat di bawah pokok nangka hasil tanaman penduduk Kampung Bering itu sangat nyaman dan tidak panas dengan sesekali angin bertiup.
Sambil mengunyah jagung bakar hasil daripada #kebunmandiriOA, salah seorang penduduk, Angah a/l Pandak, 67, datang dan duduk bersama kami.
"Dahulunya, ada orang luar masuk kampung kami dan lihat keindahan kampung ini yang terletak di tepi sungai, ada bukit batu kapur, Mereka tawarkan pampasan untuk kami dan mahu jadikan kawasan ini sebagai ekopelancongan.
"Kami tidak mahu sebarang pembangunan kerana di sinilah tanah adat dan warisan kami turun-temurun, lagipun kampung kami masih belum dicemari dan air sungainya masih lagi jernih disebabkan masih tidak ramai orang luar yang tahu akan kampung kami.
"Lagipun jika ditawarkan ke kawasan pekan ataupun bandar, kami tidak biasa. Kami sudah biasa berada dekat dengan hutan dan sungai... Jika berpindah pun, kami tidak boleh berpindah sebarangan," kata Angah.
Seperti mana harapan kebanyakan keluarga di Kampung Bering yang wujud sejak zaman penjajahan British lagi, Angah berharap agar tidak ada pihak yang menjalankan aktiviti pembalakan secara besar-besaran kerana dikhuatiri kawasan penempatan mereka akan tenggelam akibat ketiadaan sumber tadahan air.
"Hutan sudah kian diterokai dan pokok menjadi kawasan tadahan air. Kami tidak mahu kampung seindah ini tenggelam dan kami tidak tahu hendak pindah ke mana jika kawasan ini ditenggelami air," katanya.
Kampung Bering merupakan sebahagian daripada Pos Pasik, iaitu kawasan petempatan Orang Asli yang terletak kira-kira 72 kilometer dari pekan Kuala Balah, dikelilingi hutan simpan Gunung Stong Selatan dan Berangkat di bawah jajahan daerah Jeli.
HENTIKAN KELULUSAN PEMBALAKAN SECARA TEBANG HABIS
Sementara itu, Pengerusi KUASA Hafizudin Nasarudin menyeru agar keseluruhan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia dapat diwartakan sebagai kawasan sensitif alam sekitar kategori tahap satu dan dua di bawah Rancangan Fizikal Negara.
"Di bawah kategori ini, tiada sebarang pembangunan boleh diluluskan melainkan aktiviti ekopelancongan terkawal, konservasi, penyelidikan dan pembalakan secara terpilih atau lestari," katanya.
Menurut beliau, jika sekali pun pembalakan ingin dijalankan di dalam kawasan hutan simpan, pihaknya hanya bersetuju dengan pembalakan secara terpilih dan lestari mengikut garis panduan yang ditetapkan dan diluluskan di kawasan yang kurang sensitif.
"Ketika ini Dasar Perhutanan Negara dan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Seksyen 19), pihak berkuasa masih membenarkan aktiviiti pembalakan secara tebang habis bagi pengeluaran hasil hutan seperti kayu balak, mineral, tanah galian dan sebagainya.
"Sebagai aktivis alam sekitar, kami sememangnya tidak setuju kerana ia akan melenyapkan terus dirian hutan semula jadi yang asal, memusnahkan ekosistem serta mengundang kepada kepupusan spesie akibat kehilangan habitat.
"Selain itu, ia juga akan mengundang bencana alam, kehilangan sumber kehidupan komuniti Orang Asli, ancaman keselamatan air dan makanan serta ekonomi negara untuk jangka masa panjang," katanya.
PERJUANGAN HAK ORANG ASLI
Sementara itu, pengasas Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC)), Dr Colin Nicholas berkata, komuniti Orang Asli di Gua Musang kebanyakannya merasakan mereka tiada hak untuk bersuara terutamanya dalam isu pembangunan melibatkan tanah adat mereka.
"Sebagai contoh, sekiranya terdapat sebarang pembangunan atau penebangan hutan secara besar-besaran oleh tauke balak, mereka tidak meminta izin ataupun mengadakan perbincangan secara bersemuka terlebih dahulu, sebaliknya menawarkan terus pampasan kepada orang yan terlibat jika ada pencerobohan kawasan mereka.
"Di situlah masyarakat Orang Asli berasa tidak puas hati... Mereka berasa suara dan hak mereka ditindas dan tidak boleh menyuarakan pandangan mereka kepada pihak berkuasa kerana mereka sebenarnya mahu mempertahankan adat dan warisan turun-temurun mereka di tanah yang didiami lebih 100 tahun.
"Sebarang projek perlu ada Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Kesan Impak Sosial (SIA) yang melibatkan persetujuan dan dialog bersama penduduk, namun Orang Asli di kawasan itu mendakwa EIA dan SIA tidak dibuat mengikut SOP (prosedur operasi standard)," katanya.
Menurut beliau, meskipun masyarakat orang asli hidup secara berpindah randah mengikut adat dan tradisi, namun mereka hanya bergerak dalam wilayah mereka tersendiri dan tertentu sahaja.
"Di Gua Musang misalnya, terdapat 17 wilayah dan kampung di bawah Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, antaranya Wilayah Balar, Bihai, Belatim, Pasik, Kuala Wias, Pulat dan Hau.
"Jika Orang Asli Kampung Bering perlu berpindah keluar daripada kawasan asal mereka, mereka hanya boleh bergerak dalam lingkungan Wilayah Pasik mengikut adat istiadat mereka," katanya.
-- BERNAMA / Soon Li Wei, Wan Muhammad Aslah Wan Razali dan Muhammad Mikhail Mohazar
* Ekspedisi yang turut disertai jurukamera Shahrizan Jefri Aziz dan 'pilot darat' Ahmad Syukor Muhamad Zilmin ini dilakukan dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Projek yang mendapat tajaan geran mikro daripada Cent-GPS Malaysia dan Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia itu berlangsung dari 11 hingga 16 Jun lepas.
Bernama
Thu Jul 14 2022
Seorang penduduk Kampung Bering, Pos Pasik menjala ikan di Sungai Kenong, yang membekalkan sumber air kepada 27 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di kampung tersebut. - Foto BERNAMA
Kelonggaran pelaksanaan sistem e-Invois permudah peralihan perniagaan kecil - Pakar
Tempoh kelonggaran selama enam bulan yang diberikan kerajaan sebelum pelaksanaan mandatori sistem e-Invois Malaysia membantu kalangan perniagaan kecil bersedia bagi pelaksanaan penuh.
[TERKINI] Ucapan sulung Trump di pentas WEF 2025
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyampaikan ucapan sulung di pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davois, Switzerland secara dalam talian.
Pendakwa Raya ICC mohon waran tangkap terhadap pemimpin Taliban, Ketua Hakim Afghanistan
Pendakwa Raya ICC Karim Khan pada Khamis memohon waran tangkap untuk pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, dan Ketua Hakim Negara sementara Afghanistan, Abdul Hakim Haqqani.
Rangkuman dan menjelang ucapan sulung Donald Trump
Lintas langsung bersama Editor Kanan Astro AWANI mengenai rangkuman WEF 2025 dan menjelang ucapang Sulung Presiden AS, Donald Trump dari Davos, Switzerland.
Micheal Martin disahkan sebagai Perdana Menteri baharu Ireland
Ketua Fianna Fail Micheal Martin telah disahkan sebagai perdana menteri Ireland yang baharu selepas undian di Dail, dewan rendah parlimen Ireland,.
Dasar liberal, Argentina yakin sokongan Trump dan global
Presiden Argentina Javier Milei berkata, negara itu tidak lagi bersendirian dalam memperjuangkan dasar liberal dan beliau merasakan sokongan daripada pakatan antarabangsa termasuk Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
Trump dijangka beri ucapan secara dalam talian
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka memberikan ucapan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada Khamis.
Real Madrid jadi kelab pertama jana €1 bilion dalam satu musim
Real Madrid menjadi kelab bola sepak pertama mencatatkan pendapatan sebanyak €1 bilion (US$1.04 bilion) dalam satu musim, menurut laporan tahunan Deloitte Football Money League yang dikeluarkan pada Khamis.
Festival Musim Bunga: 25 anak panda buat penampilan sulung
Pengenalan dua kumpulan anak panda yang dilahirkan pada 2024 itu menjadi salah satu acara bagi sambutan Festival Musim Bunga China, yang antaranya turut menggariskan warisan budaya tidak ketara dan pemuliharaan panda.
Yoon Suk Yeol hadiri perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan
Yoon, yang dipecat dan digantung kuasa telah ditahan sejak minggu lalu sementara penyiasat menyiasat percubaaannya pada 3 Disember untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
Orang Asli: Melaka perluas skim insurans kepada Tok Jenang dan Tok Jekerah
Seramai 28 Tok Jekerah dan Tok Jenang daripada 14 perkampungan Orang Asli di seluruh Melaka akan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Johor tambah 20 lokasi Jumaat sempena perubahan cuti hujung minggu
Kerajaan Johor meluluskan 20 lokasi baharu bagi solat Jumaat berkuat kuasa hari ini, selaras perubahan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad mulai 2025.
Peruntukan RM4.8 juta bagi PPRS bina baharu di Negeri Sembilan tahun ini - Exco
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperuntukkan RM4.8 juta menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu membabitkan 62 unit rumah di Negeri Sembilan tahun ini.
Bomba terbangkan kanak-kanak Orang Asli ke hospital
Pesakit mengalami demam panas, sesak nafas, cirit-birit dan muntah berlarutan selama enam hari.
Keterbatasan internet cabaran sampai maklumat kerjaya sektor awam kepada Orang Asli
Hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.
Pemilik perlu peka pengumuman penggilan semula kenderaan untuk pemeriksaan - Loke
Pemilik kenderaan diminta supaya lebih peka terhadap pengumuman pemanggilan semula kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan terjamin ketika di jalan raya.
Trauma Bah Kuning 2014: Orang Asli di Gua Musang mahu kekal tinggal di bangsal
50 keluarga masih enggan pulang ke rumah masing-masing khususnya yang terletak di kawasan lebih rendah.
Belanjawan 2025: Pahang sasar kutipan hasil RM1.194 bilion
Pahang menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.194 bilion tahun depan iaitu peningkatan lima peratus berbanding belanjawan tahun lepas.
72 kampung Orang Asli diwartakan di Perak setakat ini - Exco
Sebanyak 72 pewartaan kawasan yang melibatkan 99 Kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Perak setakat ini.
Pahang bina pangsapuri bantu orang muda dan B40 miliki rumah
Kerajaan Pahang akan membina pangsapuri bagi membantu golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah sejajar misi memastikan tiada lapisan masyarakat di negeri ini terpinggir.