MALAYSIA
Orang awam dijemput sertai NICE 2025, jadi sebahagian perjalanan inovasi Malaysia - MOSTI

CHANG: Kerajaan tidak boleh melakukan ini secara bersendirian. Inovasi bukan projek kementerian. Ia adalah misi nasional. Kita memerlukan kementerian bekerja secara bersama. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput menghadiri Ekspo Inovasi dan Pengkomersilan Kebangsaan (NICE 2025) dari 6 hingga 9 Okt di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur dan memainkan peranan dalam membentuk masa depan Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata NICE 2025 akan menjadi pentas untuk penyelidik, syarikat pemula, syarikat dan inovator muda berhimpun, bukan sahaja untuk mempamerkan teknologi, tetapi bagi menjalin kerjasama, membuat perjanjian dan mencetuskan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
"Jika anda seorang pelajar, datang dan lihat bagaimana inovasi boleh membentuk masa depan anda. Jika anda seorang usahawan, datanglah dan berhubung dengan pembiaya dan rakan kongsi. Jika anda seorang rakyat Malaysia yang dahagakan pengetahuan baharu, datang dan dapatkan inspirasi. Kerana ini bukan mengenai inovasi kerajaan, ia mengenai inovasi kita.
"Lihat sendiri idea-idea yang membentuk masa depan Malaysia. Dan lebih daripada itu, jadilah sebahagian daripada perjalanan ini kerana masa depan Malaysia tidak tercatat dalam dasar atau rancangan semata-mata, ia ada dalam imaginasi dan tindakan rakyatnya. Mari kita karangkan bersama," katanya dalam kenyataan semalam."Kerana hakikatnya, kita tidak mampu untuk terus menangani ini sebagai perkara silo yang berasingan, namun biar saya jelaskan: kerajaan tidak boleh melakukan ini secara bersendirian. Inovasi bukan projek kementerian. Ia adalah misi nasional. Kita memerlukan kementerian bekerja secara bersama.
"Vaksin yang dibangunkan di makmal Malaysia yang melindungi ribuan keluarga. Penyelesaian pertanian yang membantu pesawah melipatgandakan hasil mereka. Platform digital yang menjadikan penjagaan kesihatan lebih mampu milik. Ini bukan perkara abstrak, ia adalah perbezaan antara tiada pergerakan dengan kemajuan, antara bertahan dan berkembang.
"Saya juga dengar daripada penyelidik yang memberitahu saya bahawa mereka bergelut untuk mencari rakan kongsi industri. Saya mendengar daripada syarikat pemula bahawa halangan terbesar mereka bukanlah idea, tetapi pembiayaan dan skala. Ini adalah luahan kekecewaan yang jujur. Dan sebagai menteri, saya memandang serius keluhan mereka, kerana setiap idea baik yang gagal berkembang adalah kerugian bagi Malaysia," katanya.
Chang juga menambah bahawa kerajaan perlu campur tangan untuk merapatkan jurang ini dan mempertajam tumpuan nasional pada RD dan inovasi.
“Menerusi Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), para inovator boleh menguji teknologi baharu dalam tetapan dunia sebenar, menerusi Pertukaran Inovasi Global (GIX), kita membantu syarikat pemula mengakses pasaran antarabangsa dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita mempertajam fokus nasional pada RD dan inovasi,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami