KUALA LUMPUR: Orang ramai di seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berakhir hari ini, sama ada secara dalam talian mahupun menerusi kaunter fizikal.

Menurut status di laman Facebook PADU Official, rekod pengemaskinian maklumat individu sehingga 12 tengah hari tadi telah mencapai 10.85 juta individu daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem berkenaan berbanding 10.61 juta individu setakat 11.59 malam semalam.


Di SELANGOR, kaunter pendaftaran fizikal dibuka pada program khas peringkat komuniti, antaranya Program Lawatan Mesra Datuk Bandar dan Pendaftaran PADU bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Flat Seri Aman, Petaling Jaya di sini dengan pengunjung hadir seawal 9 pagi untuk mendaftar.

Rata-rata penduduk yang ditemui memuji usaha kerajaan dalam memastikan rakyat dapat mendaftar PADU secara fizikal yang dapat menjimatkan masa serta memudahkan penduduk, terutama golongan warga emas yang tidak mempunyai kemahiran mengunakan gajet untuk mendaftar secara dalam talian.

Pada masa sama, orang ramai dilihat beratur lebih 30 meter seawal 7.30 pagi di luar Pusat Maklumat Rakyat (PMR), Jabatan Penerangan Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall, Shah Alam untuk mendaftar dan mengemas kini sistem itu secara fizikal.

Di JOHOR, pemandu lori, M. Chandran, 49, dari Ulu Tiram ketika ditemui di perkarangan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor berkata beliau memanfaatkan cutinya hari ini untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat pada hari terakhir berikutan kekangan waktu sebelum ini.

"Saya hendak kemas kini hari ini sebab saya tidak mahu terlepas dan tercicir untuk menerima apa-apa bantuan dari kerajaan. Saya memilih datang ke sini kerana kalau ada apa-apa masalah mereka boleh membantu," katanya.

Di PERLIS, suri rumah Ani Saad, 52, dari Pauh, Arau ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini berkata beliau hadir ke kaunter fizikal PADU pada hari terakhir bersama suami untuk mengemas kini maklumat masing-masing kerana rumah mereka mengalami gangguan perkhidmatan internet.

Rosmah Wahab, 64, seorang ibu tunggal yang juga dari Arau berkata beliau datang ke pasar raya itu semata-mata untuk mengemas kini maklumat PADU di kaunter berkenaan kerana tidak memiliki telefon pintar.

Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar, PULAU PINANG, Khatijah Nordin, 63, dan suami Ridzuan Othman, 71, berkata beliau telah mengemas kini sendiri maklumat PADU pada Jumaat lepas, namun terdapat sedikit masalah pada butiran gambar dan hadir ke kaunter fizikal untuk menyempurnakan pendaftaran itu.

Di KEDAH, Mohd Izzat Othman, 35, ketika ditemui di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) Kampung Gunung Hilir, di sini berkata beliau datang mendaftarkan PADU untuk ibu, ayah dan adiknya setelah beberapa kali gagal mendaftarkan sendiri di rumah.

"Hari ini memang ramai yang datang mendaftar, mungkin mereka baru ada kesedaran selepas mendapat informasi dan mengetahui kelebihan mendaftar PADU. Mungkin pihak kementerian boleh panjangkan tempoh pendaftaran sekurangnya seminggu lagi," katanya yang bekerja sendiri.

Di KELANTAN, ibu tunggal Zainab Yacob, 72 dari Pauh Lima, Bachok berkata beliau mengambil kesempatan untuk mendaftar maklumat menerusi PADU hari ini untuk memudahkan penerimaan bantuan atau sumbangan yang akan disalurkan oleh kerajaan kelak.

"Setakat ini, pengalaman mendaftar PADU di kaunter yang disediakan ini amat memudahkan golongan warga emas seperti saya memandangkan ada petugas yang ditempatkan untuk membantu," katanya ketika ditemui di kaunter PADU di UTC KB Mall di sini hari ini.

Di TERENGGANU, pekerja bebas dari Kampung Manir Mohd Razlan Mamat, 48, ketika ditemui di UTC Kuala Terengganu berkata beliau pernah mengisi maklumat PADU di rumah dengan bantuan anaknya tetapi tidak berjaya dan ia tertangguh sehingga hari ini kerana terlupa.

Pemandu teksi, Wahab Salleh, 79, dari Kampung Sungai Tong, di sini pula berkata beliau tidak pernah mendapat maklumat yang tepat mengenai PADU sebelum ini dan hadir ke UTC hanya atas urusan cukai jalan, namun terus membuat pendaftaran selepas mendapat penjelasan daripada pegawai di situ.

Sementara itu di PAHANG, tinjauan di sebuah pasar raya di Kuantan mendapati proses pendaftaran PADU berjalan lancar, namun kebanyakannya meminta supaya kaunter fizikal diperbanyakkan pada hari akhir serta diasingkan antara pengesahan dan pendaftaran.

Seorang pekerja swasta, Abd Ghafar Ibrahim, 59, yang sudah beratur hampir satu jam berkata pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang yang menguruskan pendaftaran di pasar raya tersebut sepatutnya menyediakan lebih banyak kaunter kerana ia merupakan kawasan tumpuan ramai.

"Selain banyakkan kaunter, perlu asingkan juga antara kaunter untuk mereka yang baharu mendaftar dan yang datang hanya untuk membuat pengesahan. Seperti saya, pendaftaran sudah dibuat tetapi ada masalah untuk pengesahan dan terpaksa menunggu lama bersama mereka yang baharu mendaftar," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Palong 11, Nur Syazeera Wahid berkata kesedaran warga Felda bagi keperluan mendaftar PADU amat baik dengan hampir 1,000 warga felda bagi Palong 9, 10 dan 11 di Jempol telah mengisi maklumat sejak ia dilancarkan awal tahun ini.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berharap mana-mana individu yang masih belum mengemas kini data dan maklumat dalam sistem berkenaan supaya segera berbuat demikian sebelum pendaftaran ditutup pada hari ini.

"Kita harap semua yang belum mengemas kini data dan maklumat dalam sistem PADU berbuat demikian hari ini sama ada melalui kaunter fizikal yang disediakan di seluruh negeri atau melayari portal PADU secara dalam talian," katanya ketika ditemui pada Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di Pasar Raya Mydin Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

-- BERNAMA