Badan Peguam Malaysia pada Ahad menegaskan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) boleh berfungsi seperti biasa dan perlu meneruskan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang dirancang sebelum ini.

Presidennya Steven Thiru berkata tiada peraturan dalam Parlimen yang menetapkan siasatan tersebut perlu ditangguhkan kerana perubahan yang berlaku dalam jawatankuasa itu baru-baru ini.

Steven turut berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia minggu lalu yang menangguhkan mesyuarat melibatkan PAC.

Menurut Pandikar Amin, mesyuarat hanya akan diadakan semula selepas pelantikan pengerusinya yang baharu.

Steven bagaimanapun berkata pelantikan pengerusi baru itu tiada kaitan dengan penangguhan mesyuarat PAC kerana walaupun tiada pengerusi, jawatankuasa itu masih boleh berfungsi dengan kehadiran timbalan pengerusi.

"Speaker berkata walaupun Arahan Tetap 77 (3) Dewan Rakyat membenarkan ahli PAC yang sedia ada boleh dipilih untuk mempengerusikan jawatankuasa itu tanpa kehadiran pengerusi atau timbalan Pengerusi kerana kesihatan atau khusus sakit sebab.

"Namun menurut Pandikar Amin, peruntukan ini tidak boleh digunakan apabila jawatan pengerusi itu tidak dipegang oleh siapa-siapa.

"Dalam kes ini, jika pengerusi tiada, jawatankuasa ini masih mempunyai Timbalan Pengerusi. Justeru itu, Arahan Tetap 77 (3) ini masih boleh digunapakai, dan PAC masih boleh berfungsi," tambah beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau lagi, dalam Arahan Tetap 83 (3) Dewan Rakyat menyatakan jumlah panel yang perlu mencukupi kuorum adalah sebanyak tiga ahli, termasuk pengerusi.

'Pengerusi' dalam konteks ini tidak bermaksud pengerusi jawatankuasa itu sendiri.

Beliau menjelaskan dalam Arahan Tetap 77 (3) ahli-ahli yang sedia ada dalam panel itu boleh meneruskan mesyuarat selagi mereka memilih salah seorang dalam kalangan mereka sebagai pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

"Lantaran itu, tidak semestinya pengerusi PAC sendiri perlu menghadiri mesyuarat PAC untuk meneruskan mesyuarat itu. Kalau timbalan pengerusi ada, dia boleh menjadi pengerusi mesyuarat itu
dengan jumlah kuorum yang ditetapkan," jelas Steven.

BACA KENYATAAN PENUH PRESIDEN BADAN PEGUAM MALAYSIA STEVEN THIRU.