Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menyeru setiap kementerian untuk berkerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) terutamanya dalam merumuskan keperluan pengguna (user requirement) di dalam projek-projek pembinaan bangunan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ini adalah untuk mengelakkan situasi lepas tangan sekiranya berlaku penangguhan projek seperti itu.

“Kami di PAC sudah mual mendengar alasan-alasan yang diberikan tentang masalah pembinaan.
Alasan yang diberi JKR salah kerana mereka agensi pelaksana.

"Kita tidak boleh salahkan sepenuhnya JKR sekiranya berlaku masalah penangguhan kerana JKR hanya pelaksana dan kementerian terlibat juga bertanggungjawab dalam proses itu.

"Situasinya apabila tiada penyelarasan dan memberi arahan jelas dan JKR pula tidak kuat hanya ikut maka apabila berlaku masalah, tuding menuding akan berlaku," katanya di satu sidang media di Parlimen hari ini, selepas bermesyuarat dengan wakil-wakil dari Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Mesyuarat itu diadakan supaya ketiga-tiga pihak tersebut dapat memperjelaskan kenaikan kos projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT) yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu.

Nur Jazlan menegur sikap KKR yang menuding jari ke JKR apabila soalan tentang projek itu diajukan kepada kementerian itu.

“Apabila timbul masalah, mereka (KKR) kata JKR yang salah padahal mereka ialah pengguna untuk projek itu. Sepatutnya mereka bertanggungjawab kepada intipati projek itu.

“Semasa keperluan pengguna dirumuskan dalam pembinaan, pastikan ada perundingan dan kerjasama antara KKR dan JKR untuk memastikan keperluan pengguna ditentukan dengan jelas dan mengurangkan masalah-maslah yang akan timbul,” katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan menjelaskan bahawa skop kerja LPT yang panjangnya 184km itu, diberikan kepada JKR (70 peratus) secara tender terbuka dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (30 peratus) secara rundingan terus.

Katanya Kos yang dianggarkan untuk skop kerja JKR adalah RM2.09 bilion dan untuk Lembaga Lebuhraya Malaysia ialah RM1.5 billion.

“Namun, JKR telah meminta tambahan lebih kurang 800 juta kerana pertukaran skop kerja dari jalan raya biasa ke jalan raya bertol. Jadi, jumlah yang diperuntukkan untuk JKR kini ialah RM2.75 billion,” katanya.

Beliau menambah bahawa skop kerja JKR telah siap 95 peratus manakala skop kerja Lembaga Lebuhraya Malaysia telah siap 100 peratus.