Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PAC syor tambah baik tatakelola kewangan, pengurusan pelaburan UiTM Holdings pada 2024

61710922383_MasErmieyatiSamsud.jpg
Mas Ermieyati berkata syor itu adalah susulan penemuan melalui dua laporan yang dikeluarkan dan dibentang oleh jawatankuasa berkenaan di Dewan Rakyat pada 2024. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan penambahbaikan terperinci berkaitan tatakelola kewangan dan pengurusan pelaburan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd kepada Kementerian Pendidikan Tinggi serta pentadbiran UiTM pada 2024.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata syor itu adalah susulan penemuan melalui dua laporan yang dikeluarkan dan dibentang oleh jawatankuasa berkenaan di Dewan Rakyat pada 2024, iaitu pelanggaran ketara tatakelola kewangan serta kelemahan maklumat dan kawal selia pengurusan pelaburan UiTM Holdings.

Beliau berkata semua syor bertujuan mengukuhkan mekanisme pemantauan, memastikan kebertanggungjawaban penuh dan mengelakkan sebarang kelonggaran atau pengulangan kesilapan tatakelola kewangan pada masa hadapan.

"Penemuan PAC mengesahkan tindakan penyaluran dana berjumlah hampir RM260 juta ke dalam entiti perniagaan/syarikat pegangan UiTM tidak dilaksanakan dengan teratur berdasarkan peraturan dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa.

"Perkara itu berikutan kegagalan mendapatkan kelulusan khas daripada Menteri Kewangan sebagaimana yang dimandatkan di bawah undang-undang," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata, dapatan PAC berkaitan UiTM Holdings pada 2024 turut mendapati terdapat kelemahan struktur yang kritikal dalam kawal selia dan tadbir urus korporat pengurusan pelaburan institusi.

"Keadaan ini menuntut penambahbaikan serta-merta bagi memastikan sebarang keputusan pelaburan dan perbelanjaan ke atas dana awam mematuhi garis panduan perundangan secara ketat serta memberikan pulangan nilai terbaik," katanya.

Beliau berkata PAC tidak akan berkompromi dan kekal berpendirian tegas dalam membanteras sebarang bentuk rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa serta ketirisan dana awam.

"PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan secara berterusan demi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta integriti pengurusan kewangan negara," katanya.

Mas Ermieyati turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat dan mengambil tindakan susulan terhadap laporan penemuan yang dikemukakan.

Beliau berkata SPRM, yang turut berfungsi sebagai anggota ex-officio PAC, menunjukkan kerjasama erat dan proaktif dalam meneliti setiap aspek penemuan bagi memastikan tiada sebarang unsur penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa.

Semalam, SPRM memaklumkan telah memulakan siasatan berhubung kerugian yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd pada 2023.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement