KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan selepas didapati memiliki koleksi pistol dan senapang tiruan yang dikumpul sebagai hobi dalam serbuan ke atas sebuah kereta di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang di sini, semalam.

Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 37 tahun itu, ditahan selepas memandu kereta dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan dan pemantauan prosedur operasi standard COVID-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pemeriksaan pada 12.15 tengah hari itu menemukan sebuah beg berisi objek berwarna hitam menyerupai sepucuk pistol, dua kelopak pistol, sebuah bekas tin kecil mengandungi bebola kecil plastik dipercayai peluru, satu penunjuk laser dan sebilah pisau lipat berhulu coklat.

Beliau berkata hasil siasatan itu polis kemudian menyerbu sebuah rumah pada 5.50 petang di Jalan Berembang, di sini dan merampas selaras senjata menyerupai senapang penembak hendap, tiga botol tin gas dan tiga bekas mengandungi bebola kecil plastik dipercayai peluru.

Mohamad Farouk berkata senjata tiruan dan peralatan yang dirampas itu dibeli menerusi aplikasi dalam talian pada tahun 2019 dengan harga RM400.

"Kesemua mereka direman empat hari sehingga Selasa dan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tiruan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan (dan Senjata Berbahaya 1958) iaitu membawa senjata berbahaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

-- BERNAMA