Skip to main content

Malaysia

Padah seleweng LPG bersubsidi, dua lelaki dipenjara gagal bayar denda

KPDN
Kedua-dua tertuduh dipenjarakan selepas gagal menjelaskan denda RM120,000 ke atas setiap seorang, manakala sebuah lori serta hasil jualan berjumlah RM13,127.50 turut dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia. - Foto KPDN
Advertisement

SEPANG: Dua lelaki warga tempatan dipenjara selepas gagal membayar denda RM120,000 setiap seorang kerana terbabit dalam kegiatan penyelewengan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi.

Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua Orang Kena Tuduh (OKT) didapati bersalah di akhir pembelaan.

Kedua-dua OKT didapati mempunyai barang kawalan bersubsidi dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa mereka menjalankan urus niaga LPG secara borong tanpa lesen yang sah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Dengkil-Banting, Kampung Dengkil, Sepang pada 16 November 2023, membabitkan pemilikan sebanyak 3,450 kilogram LPG.

"Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati kedua-dua OKT sedang memunggah tong-tong LPG daripada sebuah lori ke kawasan stor penyimpanan yang beroperasi tanpa lesen atau permit yang sah," menurut kenyataan KPDN yang disiarkan hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemukan tong LPG berisi dan kosong pelbagai jenama seberat 3,450 kilogram, selain sebuah lori, dokumen penghantaran dan telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan. 

Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi dan mengemukakan 89 barang kes sebelum mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua OKT disabitkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM120,000 ke atas setiap tertuduh atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. 

Kedua-duanya dipenjarakan selepas gagal menjelaskan denda tersebut, manakala sebuah lori serta hasil jualan berjumlah RM13,127.50 turut dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia. 

Pada masa sama, KPDN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

"Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan barang kawalan diurus dan diedarkan mengikut peruntukan undang-undang serta subsidi kerajaan benar-benar dinikmati oleh golongan yang layak," menurut kenyataan itu.

KPDN turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi kementerian bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan.

Must Watch Video

Advertisement