KUALA NERANG: Padang Terap menjadi daerah pertama di Kedah yang melaksanakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu dalam usaha meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, inisiatif ini adalah satu perkembangan sangat baik dan setakat ini lebih 14 peratus penduduk di daerah itu sudah menerima vaksin.

Beliau berkata 10,813 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 manakala sebanyak 8,564 penerima pula sudah lengkap dos kedua, daripada keseluruhan lebih 72,000 penduduk di daerah Padang Terap.

"Menerusi program pandu lalu ini, sebanyak 74 individu menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Sinovac," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Vaksinasi Pandu Lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap di sini hari ini.

Menurut beliau, kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu itu akan diperluas ke daerah lain dengan mengambil kira keadaan lokasi mestilah bersesuaian dan kondusif.

"Kalau vaksin sampai banyak di Kedah kaedah ini akan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat," katanya yang turut memaklumkan bahawa Padang Terap kini menuju ke arah zon hijau berdasarkan situasi serta perkembangan baik direkodkan di daerah itu.

-- BERNAMA