PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan sebanyak 5.43 uta individu telah mengemas kini data dalam Pangkalan Data Utama (PADU) setakat Ahad.

Begitupun, katanya, sebanyak 4,752 kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan yang mana penduduknya tidak berdaftar bukan hanya dengan PADU tetapi juga program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

Menurutnya, Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 1,282 lokaliti, diikuti Kuala Lumpur dengan 992 lokaliti dan Sarawak pula merekodkan 765 lokaliti.

Tambah beliau, penduduk di lokaliti tersebut berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam sebarang program atau bantuan kerajaan yang akan datang.

Justeru, katanya, tumpuan kementerian dan pasukan PADU dalam tempoh dua minggu selepas ini adalah untuk mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutamanya meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian.

“Dan yang paling penting ialah memastikan kawasan-kawasan berisiko keciciran itu kita boleh tutup ruang keciciran. Saya tak bimbang sangat tentang data yang tak terkini.

“Kita ada banyak data points yang lain. Algoritma boleh melihat mana satu, kita boleh secara ‘back-end’ memastikan data itu terkini seberapa baik yang mungkin.

“Yang saya paling bimbang ialah kalau ada risiko keciciran. Sebab itu kita petakan,mengikut geolokasi dan kita kenal pasti ini kawasan B40, B60 tapi tiada penerima dalam program bantuan kerajaan sebelum ini.

“Dalam PADU pun dia tak daftar. Sudah pasti kawasan ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai PADU di Putrajaya pada Isnin.

Menurut Rafizi, beliau mahu semua kerajaan negeri mengambil langkah mengumpulkan wakil penduduk dari kawasan-kawasan berisiko tinggi keciciran, untuk menggalakkan pendaftaran PADU bagi penduduk kawasan tersebut.

Tegasnya, jika ada yang masih tidak mendaftar PADU selepas 31 Mac nanti, kerajaan akan menggunakan data didapati dari jabatan kerajaan sedia ada yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini.

“Daftar dan kemas kini data anda di PADU sebelum 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.

“Anda mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan sebelum ini, kini walau peluang itu telah dibuka, oleh kerana data anda tidak dikemas kini, anda mungkin terus tercicir,” ujarnya.