KUANTAN: Pahang dijangka bersedia beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dalam masa terdekat kerana sudah memenuhi indikator ditetapkan bagi tujuan tersebut, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata antara indikator itu ialah peratusan penduduk yang sudah lengkap divaksinasi selain penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di tahap selamat dan kadar jangkitan COVID-19 yang dicatatkan Pahang adalah rendah di bawah angka 2,000.

"Data menunjukkan 40 peratus iaitu kira-kira 480,000 penduduk dewasa negeri ini sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19, iaitu satu daripada indikator ditetapkan bagi fasa tiga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy optimis Pahang dapat mencapai sasaran imuniti kelompok pada penghujung Oktober iaitu sebelum bermula musim tengkujuh memandangkan program pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar mengikut jadual.

"Pada bulan ini sahaja, kita (Pahang) dijadualkan menerima 580,000 dos vaksin COVID-19 dengan secara purata seramai 18,000 hingga 20,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kira-kira 20,000 pokok hutan pelbagai spesis telah ditanam di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub yang sebelum ini diceroboh untuk dijadikan kebun durian Musang King haram.