Pahang komited perkasa SMAN, setanding sekolah elit arus perdana - Wan Rosdy

Wan Rosdy berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan penuh kepada SMAN termasuk dalam aspek pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum, perjawatan serta pelantikan tenaga pengajar yang berkualiti. - Gambar Bernama
KUANTAN: Pahang komited untuk terus memperkasakan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar setanding dengan sekolah elit arus perdana, melalui pelaksanaan anjakan paradigma pendidikan yang menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.
Ringkasan AI
- Pahang komited memperkasakan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) agar setanding dengan sekolah arus perdana melalui anjakan paradigma pendidikan yang fokus dan berimpak tinggi.
- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan keperluan untuk meningkatkan kualiti pengajaran, prestasi murid, dan kecemerlangan sekolah secara berterusan.
- Pihak kerajaan negeri memperuntukkan dana besar untuk pengoperasian SMAN, pembinaan dan penyelenggaraan sekolah agama, serta meningkatkan elaun guru Al-Quran dan Fardu Ain.
Beliau berkata kejayaan bengkel itu tidak harus diukur melalui dokumen semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sebenar dalam kualiti pengajaran, peningkatan prestasi murid serta kecemerlangan sekolah secara berterusan.
Dalam pada itu, Menteri Besar itu berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan penuh kepada SMAN termasuk dalam aspek pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum, perjawatan serta pelantikan tenaga pengajar yang berkualiti.
"Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan hampir RM75 juta setahun bagi belanja mengurus semua SMAN serta RM1.4 juta khusus bagi bayaran makan asrama sekolah di bawah seliaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang," katanya.
Wan Rosdy berkata sejumlah RM116.58 juta diperuntuk bagi pengoperasian semua sekolah agama di seluruh Pahang, manakala RM17.4 juta disediakan untuk pembinaan baharu dan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Beliau berkata pihaknya turut menaikkan elaun tambahan guru Al-Quran dan Fardu Ain asrama serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 seorang, selain mengurangkan yuran persekolahan dan asrama sekolah agama bagi meringankan beban ibu bapa.
"Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem pendidikan Islam melalui pemerkasaan institusi tahfiz, penubuhan Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang di Cameron Highlands, serta peruntukan RM20 juta bagi merealisasikan transformasi Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) kepada Universiti Al-Quran," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengharapkan kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian dan sokongan terhadap semua sekolah menengah agama yang melaksanakan kurikulum kebangsaan, demi memastikan masa depan pendidikan Islam di Pahang terus cemerlang dan berdaya saing.
"Dengan kerjasama erat semua pihak, saya yakin SMAN akan terus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan institusi pendidikan terbaik di negara ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


