Pahang pacu pelaburan direalisasi RM5 bilion menerusi ECERDC

Wan Rosdy berkata, pencapaian itu membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi ECER dan destinasi pelaburan yang berdaya saing. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion serta pelaburan komited RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan destinasi pelaburan yang berdaya saing.
Beliau berkata, pelaburan direalisasi itu mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC iaitu RM5.6 bilion bagi 2025, diterajui oleh sektor pembuatan sebanyak 41 peratus, minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus) yang telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang
"Pelaburan komited pula berjumlah RM3.9 bilion yang menumpukan kepada sektor pembuatan (95 peratus) dan pertanian (lima peratus) yang dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan setelah direalisasi sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Wan Rosdy juga berkata, pertukaran dokumen antara ECERDC dengan empat syarikat utama yang melabur di Pahang dengan nilai RM1.6 bilion turut berlangsung hari ini di Putrajaya sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang.
Empat syarikat yang memeterai dokumen itu ialah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn Bhd bagi mewujudkan Pusat Data AI dan Sinolion Wheels Technology Sdn Bhd bagi menghasilkan rim roda aloi aluminium.
Syarikat lain Malaysian Solar Resources Sdn Bhd bagi membangunkan kilang pembuatan teknologi hijau dan Lionphos Sdn Bhd untuk menghasilkan fosfat gred makanan dan gred elektronik.
"Kerajaan Pahang menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini," katanya.
Beliau berkata, penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang turut diadakan pada acara itu .
"Kerajaan negeri mengalu-alukan penyerahan TCIC Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang yang menandakan kemajuan penting dalam bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami