Skip to main content

Malaysia

Pahang perkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama negara

Kerajaan negeri komited untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri komited untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing. - Gambar hiasan

Advertisement

KUANTAN: Kerajaan Pahang terus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai antara destinasi pelancongan utama negara melalui penganjuran PATA Malaysia Inter-State Tourism Networking Forum and Pahang Domestic Travel Mart 2026, di sini hari ini. 

Program itu menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama antara pemain industri pelancongan, agensi kerajaan, persatuan pelancongan serta penggiat industri dari pelbagai negeri, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan pakej pelancongan dan kerjasama perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata kerajaan negeri, komited untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing, khususnya dalam mendepani perubahan trend serta keperluan industri pelancongan semasa.

Beliau berkata penganjuran forum dan program pertukaran padanan perniagaan seumpama itu, amat penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara negeri, selain menggalakkan perkongsian kepakaran, pertukaran idea dan pembangunan produk pelancongan yang lebih inovatif.

“Kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan rakan strategik antara faktor utama dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang.

“Melalui platform seperti ini, kita dapat memperluas peluang perniagaan, memperkenalkan produk pelancongan baharu serta meningkatkan daya tarikan Pahang dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata Pahang mempunyai kelebihan tersendiri melalui kepelbagaian produk pelancongan merangkumi destinasi tanah tinggi, pantai dan pulau, ekopelancongan, warisan, kebudayaan serta pelancongan berasaskan komuniti yang mampu memenuhi pelbagai segmen pasaran.

Pada 2025, Pahang merekodkan kehadiran sebanyak 15.28 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM13.72 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelancong terhadap produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan di negeri ini.

Menerusi kenyataan sama, Tourism Pahang memaklumkan penganjuran Pahang Domestic Travel Mart 2026 juga dilihat sebagai langkah proaktif untuk merancakkan sektor pelancongan domestik melalui penglibatan pengusaha hotel, agensi pelancongan, pengendali produk dan penyedia perkhidmatan pelancongan.

Selain itu, kerjasama berterusan bersama dengan PATA Malaysia Chapter dan semua pihak berkepentingan juga mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pemain industri, usahawan pelancongan serta komuniti setempat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement