NATIONAL
Pahang peruntuk RM1.66 juta untuk bakal jemaah haji

Seramai 1,725 bakal jemaah haji dari Pahang dengan usia paling muda 16 tahun manakala paling tua 83 tahun yang akan turut serta bersama-sama 31,600 bakal jemaah haji dari Malaysia musim ini. - Bernama
PEKAN: Seramai 1,725 bakal jemaah haji di Pahang pada tahun ini menerima sumbangan wang saku berjumlah RM750 setiap seorang.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif itu bermula pada 2023 yang sebelum ini menyaksikan setiap jemaah haji menerima RM500 dan jumlah berkenaan meningkat kepada RM750 pada tahun lepas.
"Menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kluster agama, antara inisiatif yang kita beri perhatian ialah program Barakah Haji Pahang dan kali ini melibatkan peruntukan RM1.66 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan penyampaian IM Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al Haj di sini hari ini.
Selain wang saku, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang turut menyumbangkan pek makanan khas 'Juadah Makmur' iaitu makanan dalam bentuk pek retort yang praktikal, mudah dibawa, tahan lama dan sesuai dijadikan bekalan untuk jemaah haji.Beliau juga melancarkan penerbitan buku Himpunan Doa Arafah oleh kerajaan negeri yang turut diberikan kepada bakal jemaah haji sebagai panduan ketika berada di Tanah Suci.
Seramai 1,725 bakal jemaah dari Pahang berusia antara 16 dan 83 tahun akan bersama-sama 31,600 jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini.
Wan Rosdy bersama keluarga juga dijadualkan bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada 30 Mei.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami