Skip to main content

Politik

Enam Exco dilantik, Negeri Sembilan bentuk semula pentadbiran negeri

Seramai enam ADUN dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan. - Astro AWANI
Seramai enam ADUN dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan. - Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Negeri Sembilan hari ini secara rasmi membentuk semula barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas pentadbiran negeri itu berjalan tanpa barisan Exco sejak September lalu.

Seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pelantikan itu menyaksikan empat wakil Barisan Nasional (BN) dan dua wakil Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jawatan Exco dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Advertisement

Empat wakil BN yang dilantik ialah ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir; dan ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee.

Dua wakil PN pula ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria.

Advertisement

Sebelum ini, majlis mengangkat sumpah berkenaan dilaporkan dijadual berlangsung pada 22 November lalu.

Bagaimanapun, majlis itu ditangguhkan susulan keputusan 24 daripada 25 ADUN BN dan PN yang mencapai kata sepakat untuk akur kepada segala arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti.

Sebelum itu, Ismail mendedahkan surat peletakan jawatannya telah diserahkan oleh parti tanpa pengetahuannya.

Semalam, dua sesi menghadap Tuanku Muhriz diadakan secara berasingan di Istana Hinggap, Seremban membabitkan Ismail serta pimpinan tertinggi BN yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement