Skip to main content

Malaysia

Lebih 367,000 kandungan penipuan, akaun palsu dan 'deepfake' diturunkan sejak 2024

Kementerian Komunikasi memaklumkan, MCMC melaksanakan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial dan memperkukuh kerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan.
Kementerian Komunikasi memaklumkan, MCMC melaksanakan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial dan memperkukuh kerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan.

Ringkasan AI

  • Sejumlah 367,537 kandungan penipuan, akaun palsu dan deepfake telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permohonan MCMC dari 1 Jan 2024 hingga 15 Sept 2026.
  • MCMC melaksanakan pemantauan proaktif dan memperkukuh kerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan untuk mempercepat pengesanan dan penurunan kandungan melanggar undang-undang.
  • Kadar liputan Internet di kawasan berpenduduk Kelantan mencapai 99.88 peratus, manakala liputan 5G oleh DNB dan U Mobile masing-masing 96.9 dan 95.3 peratus.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejumlah 367,537 kandungan melibatkan penipuan dalam talian, akaun palsu dan pemalsuan imej atau deepfake diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 15 Sept 2026.

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen memaklumkan daripada jumlah keseluruhan permohonan dalam tempoh itu, 13,234 daripada 14,392 kandungan deepfake (92 peratus) dan 50,432 daripada 57,600 kandungan palsu (87.6 peratus) telah diturunkan.

Selain itu, sebanyak 303,871 daripada 316,215 kandungan berunsur penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran (96.1 peratus) turut diturunkan.

Advertisement

“Sebanyak lima permohonan penurunan kandungan berunsur penipuan kewangan telah dikemukakan kepada Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] dan kesemuanya telah diturunkan,” menurut jawapan berkenaan. 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang jumlah kandungan deepfake, akaun palsu dan penipuan digital yang diturunkan serta mekanisme pencegahannya.

Advertisement

Kementerian itu memaklumkan MCMC melaksanakan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial dan memperkukuh kerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan bagi mempercepat proses pengesanan dan penurunan kandungan yang melanggar undang-undang.

“Kerajaan menekankan bahawa usaha menangani kandungan memudaratkan tidak boleh hanya bersifat reaktif.

“Oleh itu, melalui penguatkuasaan Akta 866, pemberi perkhidmatan turut dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan pengurangan risiko pada peringkat platform bagi membendung penyebaran kandungan memudaratkan serta melindungi keselamatan pengguna,” menurut jawapan itu. 

Menurut Kementerian Komunikasi, MCMC telah menguatkuasakan Kod Pengurangan Risiko (RMC) pada 1 Jun lepas di bawah Akta 866 yang mewajibkan pemberi perkhidmatan berlesen melaksanakan langkah pencegahan pada peringkat platform, termasuk pelabelan dan penandaan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Dari segi tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dalam tempoh sama, kementerian itu memaklumkan 18 kes berkaitan dengan kandungan palsu telah didakwa di mahkamah, 32 kes dikompaun, 68 kes dikenakan surat amaran, manakala 30 kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam jawapan berasingan kepada Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan), Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa pendekatan penapisan filem yang lebih progresif oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bermaksud pelonggaran kawal selia tanpa batasan.

Sebaliknya, pendekatan itu memberikan penekanan kepada penilaian kandungan berdasarkan konteks penceritaan, nilai artistik dan kesesuaian umur penonton tanpa mengetepikan sensitiviti agama, kaum serta norma masyarakat Malaysia.

Berhubungan dengan kawal selia kandungan melalui platform penstriman digital Over-the-Top (OTT), kementerian itu memaklumkan bahawa kandungan berkenaan masih tertakluk pada Akta 588 dan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah seliaan MCMC.

Dalam perkembangan lain, menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), kementerian itu memaklumkan kadar liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Kelantan telah mencapai 99.88 peratus setakat 1 Sept lepas menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri itu pula mencapai 96.9 peratus oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dan 95.3 peratus oleh U Mobile Sdn Bhd.

Bagi penambahbaikan capaian di sepanjang jajaran jalan raya menerusi inisiatif "Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet", kerja-kerja di sepanjang lebuh raya telah bermula pada Ogos lepas, manakala pelaksanaan bagi jalan-jalan utama dijadualkan bermula pada awal tahun hadapan.

"Dalam menangani cabaran penyediaan capaian Internet di kawasan pedalaman, MCMC akan terus menilai kesesuaian teknologi satelit termasuk Very Small Aperture Terminal High Throughput Satellite (VSAT HTS) dan satelit orbit rendah bumi (LEO) berdasarkan keperluan setempat, kebolehlaksanaan teknikal serta ketersediaan peruntukan," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement