Ringkasan AI
- Apple dilaporkan menjalankan ujian dalaman untuk membolehkan iPad menggunakan sistem operasi desktop macOS.
- Ujian ini hanya untuk penggunaan dalaman dan tiada rancangan mengkomersialkan macOS pada iPad dalam masa terdekat.
- Langkah ini bertujuan menilai keupayaan perkakasan serta membawa lebih banyak ciri profesional Mac ke dalam iPadOS secara berperingkat.
CUPERTINO: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple, dilaporkan telah menjalankan ujian dalaman bagi membolehkan peranti tablet iPad menjalankan sistem operasi desktop macOS.
Menurut wartawan teknologi Bloomberg, Mark Gurman, dalam podcast Power On, langkah itu dilihat munasabah memandangkan beberapa model iPad terkini menggunakan cip siri M keluaran Apple yang berkongsi seni bina sama dengan komputer MacBook, iMac, Mac mini dan Mac Studio.
Perkembangan tersebut kembali menghangatkan spekulasi yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu bahawa Apple mungkin memenuhi permintaan pengguna untuk menawarkan pengalaman macOS pada peranti tablet itu.
Apple sebelum ini turut dilihat semakin mengecilkan jurang antara kedua-dua platform berkenaan apabila memperkenalkan MacBook Pro dengan paparan PROLED XDR yang menyokong sentuhan pada Oktober lalu.
Selain itu, iPadOS 26 turut memperkenalkan beberapa ciri yang lebih menyerupai macOS, termasuk sistem pengurusan tetingkap dan antara muka yang lebih berorientasikan produktiviti.
Walau bagaimanapun, Gurman berkata ujian tersebut hanya melibatkan penggunaan dalaman dan Apple ketika ini tidak menjalankan sebarang usaha untuk mengkomersialkan macOS pada iPad dalam masa terdekat.
Menurut beliau, ujian itu berkemungkinan bertujuan menilai keupayaan perkakasan serta kesesuaian antara muka desktop pada tablet, selain membantu Apple membawa lebih banyak ciri dan aplikasi profesional Mac ke dalam iPadOS secara berperingkat.