Skip to main content

Dunia

Wanita hamil tahanan penjara AS larikan diri selepas rampas kenderaan pengiring

Rebecca Taylor melarikan diri pada Rabu selepas mengambil alih kawalan sebuah kenderaan Dodge Journey yang digunakan untuk membawanya bersama seorang lagi banduan. - Foto Jabatan Penjara New Mexico
Rebecca Taylor melarikan diri pada Rabu selepas mengambil alih kawalan sebuah kenderaan Dodge Journey yang digunakan untuk membawanya bersama seorang lagi banduan. - Foto Jabatan Penjara New Mexico

Ringkasan AI

  • Seorang wanita hamil, Rebecca Taylor, melarikan diri dari tahanan selepas merampas kenderaan pengiring di Albuquerque, New Mexico.
  • Kenderaan dan pakaian seragam penjara Taylor telah ditemui, namun dia masih belum berjaya diberkas oleh pihak berkuasa.
  • Semua penjara di New Mexico dikunci sementara, dan operasi memburu Taylor melibatkan beberapa agensi masih diteruskan.
Advertisement

ALBUQUERQUE: Seorang wanita hamil yang sedang menjalani hukuman penjara di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), berjaya melarikan diri selepas merampas sebuah kenderaan pengiring ketika dalam perjalanan pulang dari temu janji pemeriksaan pranatal.

Jabatan Penjara New Mexico memaklumkan Rebecca Taylor, 26, melarikan diri pada Rabu selepas mengambil alih kawalan sebuah kenderaan Dodge Journey yang digunakan untuk membawanya bersama seorang lagi banduan.

Menurut laporan media tempatan yang dipetik BBC, insiden itu berlaku apabila pasukan pengiring berhenti untuk membeli makanan di Albuquerque.

Advertisement

Seorang lagi banduan yang turut dibawa pulang daripada temu janji pranatal dilaporkan sempat keluar dari kenderaan sebelum Taylor memecut melarikan diri.

Jabatan Penjara New Mexico dalam satu kenyataan berkata, kenderaan berkenaan dan pakaian seragam penjara yang dipakai Taylor sudah ditemui, namun wanita itu masih belum berjaya diberkas.

Advertisement

Taylor sebelum ini dipenjarakan atas beberapa kes kecurian dan pecah masuk.

Jurucakap jabatan itu, Brittany Roembach, berkata Taylor tidak digari atau diikat ketika diangkut kerana sedang berada dalam trimester kedua kehamilan.

Menurutnya, seorang pegawai berada berhampiran kenderaan terbabit ketika kejadian, namun tidak berada di dalam kenderaan pada waktu itu.

Susulan insiden itu, semua penjara di New Mexico dikenakan perintah kawalan ketat sebagai langkah berjaga-jaga sebelum ditamatkan pada pagi Khamis.

Bagaimanapun, Penjara Western New Mexico, tempat Taylor ditahan, masih melaksanakan pergerakan terhad dan tidak membenarkan sebarang lawatan.

Pihak berkuasa turut melancarkan operasi memburu Taylor melibatkan beberapa agensi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampirinya jika terlihat, sebaliknya segera menghubungi polis.

 

 

Must Watch Video

Advertisement