Saingan Liga Malaysia menyaksikan sebanyak tiga perlawanan Liga Super dan enam perlawanan Liga Perdana berlangsung Jumaat.

Di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang melonjak satu anak tangga dan kini menduduki tangga keempat dengan 23 mata selepas menewaskan Felda United, 2-0.

Gol kemenangan Pahang dijaringkan Matias Ruben pada minit ke-24 dan selepas rehat, Mohd Fauzi Rozlan menjaringkan gol kedua pada minit ke-64.

Selain Pahang, Terengganu turut melonjak satu anak tangga selepas meraih tiga mata dengan mengalahkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kemenangan keenam selepas 14 perlawanan menyaksikan Terengganu berada di tangga keenam dengan mengumpul 20 mata.

Gol tunggal Terengganu diperoleh selepas Mohd Ashari Shamsudin menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 susulan kekasaran dalam kawasan kotak penalti.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan PKNS FC 2-0, hasil jaringan ketua pasukan, Hairuddin Omar (minit ke-34) dan Marlon Alex James (min 73).

Sementara itu, pasukan Sime Darby FC terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana dengan mengumpul 36 mata selepas mengalahkan Sabah 5-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pemain import Karlo Primora muncul wira pasukan pelawat selepas menjaringkan kelima-lima gol Sime Darby sementara pasukan tuan rumah mendapat gol sagu hati menerusi Alto Linus pada minit ke-80.

Di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, pasukan Perlis berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dengan S.P.A Putrajaya FC sementara di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh kemenangan keenam mereka selepas menumpaskan Kuala Lumpur 4-1.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kedah menewaskan Pos Malaysia FC 5-1 manakala di Stadium UiTM Shah Alam, Sarawak mengalahkan tuan rumah UiTM, 5-3.