KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang hari ini menerima sumbangan pakej prihatin mengandungi barangan keperluan asas berjumlah RM450,000 daripada Yayasan Petronas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau menghargai dan berterima kasih atas inisiatif yayasan berkenaan yang prihatin terhadap penduduk terjejas akibat bencana itu.

Beliau berkata agihan sumbangan itu akan diuruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Mangsa banjir kita setakat ini sekitar 1,300 orang dan ramai telah pulang ke rumah masing-masing. Saya juga bersyukur tiada kematian direkodkan setakat ini. Terima kasih juga kepada mangsa banjir yang patuh dengan arahan diberikan pihak berkuasa.

"Kerajaan negeri sayang kepada mangsa banjir, kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku. Malah, keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah baik dan tandas sentiasa dipantau tahap kebersihannya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan itu di Wisma Sri Pahang, di sini.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga berhasrat untuk menghantar bantuan kepada negeri jiran yang terjejas akibat bencana banjir.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli dalam kenyataan memaklumkan sumbangan pakej prihatin itu mengandungi barang keperluan asas bernilai RM300 kepada 1,500 keluarga mangsa banjir.

Beliau berkata Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 merupakan satu daripada usaha berterusan dijalankan yayasan itu bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

"Sumbangan yang disampaikan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang berlindung di PPS," katanya.

Sumbangan Pakej Prihatin mengandungi keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral.

Sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, beliau berkata Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan sebanyak RM10,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas.

Selain bantuan pascabencana, Yayasan Petronas juga menjalankan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) kepada penduduk di kawasan yang berisiko banjir di Mukim Ganchong, Pahang dan Teluk Renjuna, Kelantan.

-- BERNAMA