KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengagihkan kadar dividen lebih tinggi bagi 2023 sekiranya keadaan pasaran terus positif atau bertambah baik pada separuh kedua 2023, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata KWSP telah menunjukkan kecekapan dalam menjana pendapatan pelaburan melalui strategi pelaburan berhemat.

"Pengurusan portfolio aktifnya telah membuahkan hasil yang wajar dan terus berpandukan kepada peruntukan aset strategik (SAA)," katanya kepada Bernama.

Bagi separuh pertama tahun ini, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion pada tempoh yang sama pada 2022.

Jumlah itu selepas mengambil kira penurunan nilai ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh dalam kajian dan daripada RM33.19 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM4.79 bilion dijana daripada 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Keuntungan MTM kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata keputusan separuh pertama 2023 KWSP adalah sangat kukuh, gabungan pengurusan mantap, hasil pulangan permodalan pantas dan beberapa pelarasan teknikal yang berkesan.

"Walaupun prestasi separuh kedua 2023 adalah sejajar dengan tahun lepas, pulangan keseluruhan harus lebih kukuh. Justeru, prospek dividen kelihatan positif dan ia diunjurkan lebih baik daripada 5.35 peratus pada 2022," katanya.

KWSP merekodkan ahli aktif yang tinggi, pemulihan ekonomi berada pada landasan betul

KWSP mencatatkan 8.47 juta ahli aktif, paras tertinggi setakat separuh pertama 2023, ia menunjukkan pemulihan ekonomi berada di landasan yang betul dengan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan, kata Mohd Afzanizam.

"Ini dicerminkan dalam penurunan kadar pengangguran daripada 3.6 peratus pada Januari 2023 kepada 3.4 peratus pada Jun 2023. Ia turut menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima pendapatan tetap daripada pekerjaan mereka yang kemudian diterjemahkan kepada sumbangan yang lebih tinggi daripada ahli," katanya.

Sementara itu, Williams berkata peningkatan ahli aktif adalah disebabkan oleh orang ramai yang cuba mengaktifkan semula akaun mereka selepas pengeluaran dan juga disebabkan langkah KWSP dalam meningkatkan kesedaran mengenai krisis persaraan.

"KWSP juga merupakan salah satu pelaburan terbaik dengan pulangan tetap antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus berbanding deposit tetap pada hampir 3.0 peratus. Ia juga meluaskan produk dan perkhidmatannya kepada ahli dan aplikasi dalam talian baharunya membantu ahli menjejaki pelaburan mereka dengan lebih aktif," katanya.


Skim persaraan bukan caruman dengan Malaysian Superfund baharu

Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 setahun yang lepas, jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion, meningkat 46 peratus daripada RM2.70 bilion terkumpul dalam tempoh yang sama setahun lepas.

KWSP juga sedang aktif menghubungi majikan untuk menggalakkan mereka mempertimbangkan untuk mencarum lebih daripada 12 peratus, atau 13 peratus untuk pekerja yang berpendapatan RM5,000 sebulan atau ke bawah.

Williams berkata kerajaan harus mempertimbangkan skim persaraan bukan caruman dengan Malaysian Superfund baharu, ia boleh dikendalikan oleh KWSP memandangkan rekod prestasi mereka yang sangat kukuh dan berjaya.

"Pendekatan kepada majikan adalah berniat baik tetapi mungkin ia tidak mendapat perhatian serius. Majikan tidak mahu menaikkan caruman KWSP mereka terutamanya apabila kos gaji mereka akan meningkat disebabkan tahap minimum dan gaji progresif yang akan dilaksanakan pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata kempen sebegini akan menggalakkan celik kewangan yang lebih baik, satu langkah positif yang boleh membantu ahli untuk mengharungi kesulitan sekiranya berlaku pada masa hadapan.

"Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan strategi yang berat sebelah. Saya tidak pasti mewajibkannya akan menyelesaikan masalah. Isu asas adalah berhemat dalam pengurusan kewangan dan menyedari ancaman yang berpotensi wujud daripada penipuan kewangan," katanya.

-- BERNAMA