Ketua Pembangkang baharu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengumumkan akan mewujudkan semula Kabinet Bayangan bagi Pakatan Rakyat (PR).

Menurut beliau yang baharu sahaja mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut dan juga sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, langkah itu diambil bagi memelihara kepentingan rakyat.

Katanya, setiap kementerian terpilih akan diwakili oleh seorang Ahli Parlimen dari setiap parti.

“Tujuannya adalah untuk memperkukuhkan timbang-tara (check and balance) demi memelihara kepentingan rakyat,” kata Dr Wan Azizah pada sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Fiskal atau Bajet Parlimen dengan segera supaya proses merangkakan bajet negara lebih inklusif dan efektif.

“Tujuannya adalah meletakkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai asas tatakelola pemerintahan baik,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga mengucapkan terima kasih kepada parti-parti sekutu PR termasuk penduduk Permatang Pauh atas pelantikannya sebagai Ahli Parlimen.

BACA: Wan Azizah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pembangkang

Katanya kemenangan tersebut merupakan bukti bahawa perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih relevan.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga merupakan Presiden PKR, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Upacara angkat sumpah sebagai Ketua Pembangkang dan juga Ahli Parlimen Permatang Pauh diadakan di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.