KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima barisan Ketua Portfolio baharu dalam 'Kabinet Bayangan' bagi menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya membuat perubahan dan penambahan pada jawatankuasa portfolio mengikut kedudukan Kabinet sedia ada dengan memberi fokus kepada isu utama ketika ini.

"Kita semua sedia maklum bahawa isu yang paling besar dalam negara adalah seperti kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit, pencen penjawat awam dan pendakwaan politik.

"Memandangkan mesyuarat pertama penggal ketiga sidang Dewan Rakyat bermula 26 Februari ini maka kita mahu bersedia dengan lebih awal supaya kita dapat kemukakan bukan hanya soalan tetapi juga membawa masalah rakyat dan kita akan perjuangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Jawatankuasa Portfolio Dewan Rakyat Ke-15 di ibu pejabat PN dekat sini semalam.

BACA: Muhyiddin masih layak jadi PM, kenapa perlu letak calon lain? - Hamzah 

Antara lima portfolio baharu ialah Portfolio Ekonomi, Portfolio Digital, Portfolio Pengajian Tinggi, Portfolio Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Portfolio Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, terdapat lima pertukaran portfolio bagi Portfolio Belia dan Sukan, Portfolio Pelancongan, Portfolio Undang-Undang dan Reformasi Parlimen dan Portfolio Kerja Raya.

Hamzah berkata, semua isu berbangkit ketika ini akan menjadi fokus pihaknya terutama kos sara hidup yang tinggi menghimpit kehidupan rakyat apabila harga barangan kekal meningkat namun tiada penyelesaian secara tuntas.

"Kerajaan sudah berjanji untuk menyelesaikan isu ini dalam masa dua minggu, namun sudah hampir dua tahun masalah ini (masih) tidak dapat diselesaikan lagi,” ujarnya.

Berikut adalah senarai nama pelantikan lima portfolio baharu:

Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Portfolio Pengajian Tinggi

Ahli Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman dilantik sebagai Ketua Portfolio Ekonomi

Ahti Parlimen Tanga Batu, Bakri Jamaluddin dilantik sebagai Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi dilantik sebagai Ketua Portfolio Belia dan Sukan

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dilantik sebagai Ketua Portfolio Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Berikut adalah lima senarai nama portfolio yang bertukar:

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dilantik sebagai Ketua Portfolio Pelancongan (sebelum in merupakan Ketua Portfolio Undang-Undang dan Reformasi Parlimen)

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Portfolio Digital (sebelum in merupakan Ketua Portfolio Belia dan Sukan)

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly dilantik sebagai Ketua Portfolio Undang-Undang dan Reformasi Parlimen (sebelum ini merupakan Ketua Portfolio Keria Raya)

Ali Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah dilantik sebagai Ketua Portfolio Keria Rava (sebelum ini merupakan Ketua Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dilantik sebagai Ketua Portfolio Wilayah Persekutuan (sebelum ini merupakan Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi)

- Sinar Harian