Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel Selasa mengumumkan pelantikan empat penyandang jawatan dalam jawatankuasa perhubungan MIC Selangor.

Palanivel, yang juga pengerusi MIC Selangor, berkata anggota jawatankuasa pusat K Partiban dilantik semula sebagai setiausaha, Datuk S M Muthu sebagai penolong setiausaha, N Rawisandaran sebagai bendahari dan Awtar Singh sebagai ketua penerangan.

"Saya mahu mereka bergerak sebagai satu pasukan ke setiap bahagian di Selangor dan mendengar masalah yang dibangkitkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Palanivel juga meminta mereka supaya melakukan lawatan kerap ke setiap bahagian kerana laporan akar umbi penting bagi mengukuhkan parti.

Beliau berkata para penyandang jawatan dalam MIC Selangor juga perlu segera berhubung dengan cawangan MIC dan lebih 100,000 anggotanya di Selangor.