KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 100 jam dilancarkan, #IsraelCuak telah mendapat sambutan dan sokongan daripada rakyat Malaysia di pelbagai platform sosial media sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Demikian jelas Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin susulan peperangan antara pejuang Hamas dan rejim zionis Israel.

Jelasnya, gelombang sokongan rakyat Malaysia itu sedikit sebanyak memberi tamparan hebat buat Zionis terhadap kekejaman mereka menindas rakyat Palestin.

"Semalam kita lancarkan, hari ini 100 jam di MyAqsa Defender akan gunakan sehabis mungkin untuk memainkan naratif ini kita nak berikan penjelasan untuk tarik seramai mungkin pempengaruh, aktivis, profesor, akademia dan sebagainya untuk berkongsi.

"Di platform X lebih 30,000 catatan dikeluarkan menggunakan tanda pagar itu, di TikTok gelombang #IsraelCuak itu telah menghampiri 4 juta.

"Ada juga #IsraelCuak ditukar kepada bahasa Hebrew, ini sebahagian inisiatif anak muda Malaysia menunjukkan solidariti kita terhadap isu Palestin," katanya.

Selain di media sosial, tambahnya lagi, Malaysia perlu terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin dengan bersuara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu bagi Ketua Misi Kemanusiaan MAPIM Malaysia, Dr Sani Araby Al Kahery, beliau percaya kebangkitan rakyat Palestin menerusi pejuang Hamas kali ini bakal membawa kembali perjuangan Intifada menentang Zionis.

"Kami melihat kronologi luar corak kebiasaan ini akan mewujudkan satu kebangkitan luar biasa yang kalau boleh saya cerminkan, kebangkitan yang terakhir seperti ini boleh berlaku kebangkitan Intifada 2023," katanya.

Mereka berkata demikian dalam program Agenda AWANI: Nasib Rakyat Palestin Ibarat Telur di Hujung Tanduk pada Selasa.