KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-19 akan berlangsung bermula Selasa hingga Jumaat ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MIHAS yang merupakan pameran halal terbesar dunia, menghimpunkan pemain utama industri halal global.

Bertemakan "Paving the Way of Halal", MIHAS 2023 akan menampilkan trend, teknologi dan inovasi terkini meliputi 13 kluster industri halal. Pameran berkenaan diadakan secara hibrid, menggabungkan pameran fizikal dengan platform dalam talian yang boleh diakses 24 jam sehari sepanjang pameran berlangsung.

"13 kluster itu terdiri daripada makanan dan minuman, teknologi dan pembungkusan makanan, e-dagang, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal dan perubatan, fesyen dan gaya hidup sederhana, pendidikan, kewangan dan teknologi kewangan Islam, peruncitan dan francais, perkhidmatan dan pendaya, hospitaliti dan pelancongan mesra muslim, media dan rekreasi serta seni dan budaya Islam," menurut MATRADE dalam kenyataan.

MIHAS 2023 turut menampilkan Program Sumber Antarabangsa (INSP) secara fizikal pada esok selain secara dalam talian bermula Mac lepas hingga 30 Nov ini, bertujuan menghubungkan pembeli antarabangsa dengan syarikat Malaysia, memudahkan perkongsian perniagaan dan jalinan kerjasama.

"Syarikat Malaysia berpeluang berhubung dengan lebih 470 pembeli dari 40 negara yang menyertai INSP tahun ini pada MIHAS 2023," menurut kenyataan itu.

Selain itu, MIHAS 2023 juga akan menampilkan 'Hab Pengetahuan' dengan pakar industri akan berkongsi pandangan pelbagai topik berkaitan industri halal.

Sesi berkenaan menyediakan platform kepada pembeli dan penjual untuk berkongsi pandangan, pengetahuan kepakaran dan memperoleh maklumat terkini tentang trend dan pembangunan terkini dalam industri halal.

Pendaftaran bagi MIHAS kini dibuka dan digalak mendaftar awal menerusi https://mihas.com.my/ manakala hari terbuka untuk orang ramai akan diadakan pada Jumaat ini yang membolehkan individu mengalami sendiri pameran berkenaan.

-- BERNAMA