Skip to main content

Malaysia

Pameran "Lat: Dulu-Dulu" sempena Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026

Sempena Festival Budaya Malaysia, Balai Seni Negara membawakan khas kepada anda karya prop Seniman Negara Dato’ Lat menerusi pameran “Lat Dulu-Dulu”.  Anda akan dibawa menelusuri dunia Lat Dulu-Dulu yang menggambarkan simbol budaya, humor masyarakat, nilai kekeluargaan, tempat pertemuan masyarakat, memori kehidupan kampung dan jiwa Malaysia!  Pelbagai aktiviti sokongan turut menanti pengunjung seperti Tayangan Wayang Pacak Filem Mamat Khalid, Aktiviti Art Pacak, Interaktif Melukis & Mewarna serta Jualan dan
Pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung menghayati kehidupan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu menerusi pelbagai set dan prop bersaiz sebenar yang diinspirasikan daripada karya Lat.
Advertisement

IPOH: Balai Seni Negara akan membawakan pameran khas bertemakan “Lat: Dulu-Dulu” sempena Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru dekat sini, dari Khamis hingga Ahad ini.

Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan, pameran interaktif itu mengetengahkan karya dan legasi Seniman Negara kesembilan, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat, yang terkenal dengan karya ikonik seperti “Kampung Boy” dan “Keluarga Si Mamat”.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bermula 9 pagi hingga 12 tengah malam itu menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan warisan yang mencerminkan kepelbagaian identiti Malaysia.

Pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung menghayati kehidupan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu menerusi pelbagai set dan prop bersaiz sebenar yang diinspirasikan daripada karya Lat.

"Tarikan utama termasuk paparan suasana beranda rumah kampung, majlis perkahwinan tradisional, kehidupan harian keluarga serta pelbagai objek nostalgia yang sering dipaparkan dalam lakaran beliau.

“Pemilihan tema ini bukan sahaja bertujuan mengangkat sumbangan Datuk Lat sebagai seniman negara, malah bertepatan dengan penganjuran festival di Perak yang merupakan negeri kelahiran beliau,” menurut kenyataan itu. 

Balai Seni Negara memaklumkan, pameran itu juga menjadi penghargaan kepada tokoh seni berkenaan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan seni kartun dan penceritaan visual negara hingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Selain pameran utama, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk melukis dan mewarna, sesi fotografi, pengalaman Photo AI berinspirasikan karakter serta pameran Art Pacak yang menampilkan lakaran seni coret berskala besar berteraskan budaya dan warisan tempatan.

Bagi memeriahkan reruai Balai Seni Negara, tayangan wayang pacak turut diadakan dengan menampilkan beberapa filem ikonik arahan Allahyarham Mamat Khalid seperti Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang, Manap Karaoke dan 17 Puasa, selain dokumentari khas mengenai pengarah tersohor itu. 

Menurut kenyataan itu, turut menjadi tarikan ialah pembinaan semula prop ikonik Warung Pak Jabit yang sinonim dengan karya-karya Mamat bagi memberikan pengalaman lebih dekat kepada pengunjung.

"Balai Seni Negara berharap penyertaan dalam festival berkenaan dapat mendekatkan masyarakat dengan seni visual melalui pendekatan santai, interaktif dan mesra keluarga, di samping memperkukuh apresiasi terhadap seni, budaya dan warisan negara dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan reruai Balai Seni Negara dan menikmati pengalaman seni yang unik serta penuh nostalgia sepanjang festival berlangsung," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement