Skip to main content

Malaysia

Pan Borneo WP11 sasar siap September ini - Nanta

Alexander Nanta Linggi
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata langkah itu bertujuan memastikan projek bernilai RM167.48 juta itu dapat disiapkan mengikut tarikh siap kontrak pada 29 Sept ini. - Foto Alexander Nanta Linggi/BERNAMA
Advertisement

KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B bagi Pakej Kerja 11 (WP11) melibatkan jajaran Rampayan Laut ke Sarang telah mengemukakan pelan pemulihan bagi menangani kelewatan 32 hari yang direkodkan setakat ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata langkah itu bertujuan memastikan projek bernilai RM167.48 juta itu dapat disiapkan mengikut tarikh siap kontrak pada 29 Sept ini.

Beliau berkata kemajuan fizikal projek sepanjang 7.3 kilometer itu telah mencapai 61.76 peratus setakat 25 Jun lepas, namun masih mencatatkan kelewatan 4.35 peratus berbanding jadual asal.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, pihak perunding dan kontraktor akan terus memantau pelaksanaan pelan pemulihan secara rapi bagi mengurangkan jurang kelewatan kepada 14 hari menjelang Ogos ini," katanya.

Nanta berkata kelewatan pelaksanaan baki kerja di tapak berpunca daripada cabaran pengalihan utiliti yang melibatkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Celcom Timur Sabah Sdn Bhd (CTSB), selain isu pengambilan balik tanah.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak berkepentingan perlu memperkukuh koordinasi serta menyelesaikan isu berkenaan secara proaktif dan bersepadu bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja kritikal.

Mengenai manfaat projek itu, Nanta berkata jajaran berkenaan akan menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat dan efisien, sekali gus memendekkan jarak perjalanan ke Simpang Mengayau, Kudat, kira-kira 30 kilometer.

"Selain menjimatkan masa perjalanan antara 30 hingga 60 minit, laluan itu bakal meningkatkan akses ke Jalur Pelancongan (Tourism Belt) dan Pelan Induk Pelancongan Pantai di utara Sabah," katanya.

Beliau berkata perhubungan infrastruktur yang lebih baik itu secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, pelaburan dan pekerjaan kepada masyarakat setempat.

"Komitmen KKR kekal jelas. Kita bukan sahaja mahu memastikan projek ini siap mengikut jadual, malah disiapkan mengikut standard kualiti, keselamatan dan integriti terbaik demi kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement