KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk disiasat susulan laporan Pandora Papers yang menggaitkan dirinya dengan isu pemilikan akaun simpanan di British Virgin Island (BVI).

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) yang secara sinis bertanya sama ada Presiden UMNO itu bercadang membawa balik wang yang didakwa disimpan di sebuah bank untuk membantu memulihkan ekonomi negara.

Menurut Ahmad Zahid, pada masa itu, beliau masih berada di sektor korporat dan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang tersenarai.

"Yang Dipertua Dewan Rakyat, sila siasat bahawa apa yang dikatakan oleh Jelutong itu adalah ketika saya berada dalam sektor korporat.

"Apabila saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif kepada sebuah syarikat tersenarai, ketika itu syarikat yang saya ketuai mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi daripada negara itu untuk melaksanakan IPP ketika itu.

“Keuntungannya tidak dapat dibawa keluar, sebaliknya diminta untuk dilaburkan semula di negara berkenaan. Tentunya sebagai syarikat yang tersenarai, mahu supaya dividen dapat diberikan kepada pemegang saham.

“Kini, syarikat yang telah didaftarkan atas nama syarikat yang tersenarai itu telah tidak ada lagi,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.



Pandora Papers | Ahmad Zahid sedia disiasat, nafi cuba lari bawa cukai
 

Ahmad Zahid dalam masa sama secara sinis turut menempelak Rayer, dengan menafikan bahawa beliau cuba menggelak daripada membayar cukai.

"Jadi, jangan sangka bahawa saya jenis (seperti)  YB Jelutong yang mahu melarikan diri daripada cukai," katanya.

Rayer dilihat kurang berpuas hati dan sekali lagi mahu mencelah, namun tidak mendapat kebenaran Dewan Rakyat.

“Itu kita boleh sembang di kantin nanti. Belum masuk korporat mungkin dia tak tahu, bidang guaman saja dia tahu.

"Tentang bidang korporat, penstrukturan dan cukai semua boleh belajar daripada saya,” sinis Ahmad Zahid kepada Rayer.

Terdahulu, portal Malaysiakini mendedahkan laporan Pandora Papers berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Ia termasuk Ahmad Zahid yang didakwa bertindak sebagai ejen firma bernama BVI.

Breedon ditubuhkan pada September 1996 dengan Ahmad Zahid sebagai pengarah, sebelum namanya ditukar kepada Rising Resources (BVI) Ltd pada November tahun itu.