KUALA LUMPUR: "Apakah negara kita begitu lembap... penguatkuasaannya begitu lemah dan leceh...?"

Demikian soal Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan wang berjumlah ratusan bilion ringgit didakwa dibawa keluar ke luar negara seperti didedahkan melalui Pandora Papers.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, kebanyakan wang tersebut dibawa keluar melalui sebuah syarikat di Singapura yang dikenali sebagai Asia City.

"Umpamanya siasatan saya, antara syarikat besar yang menjalankan kegiatan Pandora Papers adalah di Singapura, namanya City Asia.

"Pakar perundangan dan akauntan semua (berada) di situ, dan mereka mencipta akaun untuk sekurang-kurangnya untuk 25 ahli politik.

"Soalnya, apakah negara kita begitu lembap, atau penguatkuasaannya sangat leceh sehinggakan ratusan bilion ringgit dikeluarkan? Dan kebanyakan adalah melalui Asia City pada suatu ketika dulu...

"Memang kerajaan Singapura pernah mendenda, kalau tak silap saya sekitar RM11 juta atau RM12 juta kepada Asia City kerana pelanggaran hukum.

"Kalau diuruskan dana ratusan bilion, soal (denda) RM11 juta tiada apa-apa...," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Media sebelum ini memetik Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini turut mengemukakan notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan meminta satu sesi perbahasan di adakan berkaitan pendedahan Pandora Papers.

Pandora Papers | Negara kita begitu lembap? – Anwar


Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan kemudian memaklumkan akan memanggil Anwar berhubung pendedahannya mengenai Pandora Papers.

Mengulas lanjut, Anwar berkata lima pegawai SPRM telah datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi menjalankan siasatan berhubung Pandora Papers.

"Saya ada kesukaran untuk pergi ke SPRM kerana kalau saya beri kenyataan kepada SPRM, saya tak boleh bercakap mengenai perkara itu. Undang-undang melarang saya mengemukakan pandangan mengenai Pandora Papers (apabila memberikan keterangan kepada SPRM)," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan menghalang tindakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang disebut dalam pendedahan Pandora Papers berkenaan pemilikan aset kewangan luar pesisir.

Jelas beliau, kerajaan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara.