Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan panel antarabangsa bagi meneliti tentang aspek tanggungjawab membabitkan penerbangan MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata hasil siasatan panel itu akan menentukan pihak-pihak yang harus memikul tanggungjawab tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini, ketika ditanya sama ada syarikat China Southern Airlines selaku rakan perkongsian kod penerbangan MH370 bersama-sama Malaysia Airlines (MAS), harus turut bertanggungjawab terhadap penerbangan itu yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia juga akan mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi menyiasat tragedi MH370.

Katanya beliau percaya semua negara yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat pesawat itu serta rakan-rakan antarabangsa ingin tahu hasil siasatan yang dijalankan oleh Malaysia berhubung kejadian.

Pada masa sama Hishammuddin berkata sekarang adalah waktu yang terbaik untuk melihat semula bukan sahaja landskap sektor penerbangan tetapi juga aspek keselamatan dan pertahanan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditemui pemberita selepas berjumpa dengan anggota keluarga penumpang MH370 di Hotel Everly di sini.