Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar kerajaan negeri Perak dapat melakukan audit dan penelitian menyeluruh terhadap kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi penyelidikan yang diterajui pemerintahan sebelum ini.

Jelasnya, beliau turut menasihatkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Perak untuk mengutamakan sistem audit tersebut yang dilihat bermanfaat untuk mengetahui kapasiti dan kepentingan sesebuah jabatan atau GLC dalam pentadbiran kerajaan.

Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pandangan negatif sekiranya pihak pimpinan kerajaan negeri Perak merasakan bahawa GLC mempunyai prestasi yang baik dan perlu diteruskan.

“Apa yang baik daripada pentadbiran yang lalu itu kita boleh guna, tetapi ada yang terbukti di agensi kerajaan Persekutuan (berlaku) pertindihan dan penduaan (duplication) yang nyata dan pembaziran elaun-elaun yang keterlaluan kepada tokoh-tokoh politik.

“Ini harus dihentikan, pegawai-pegawai kerajaan kita patut berikan kepercayaan untuk mereka teruskan dengan baik.

“Tetapi, pengalaman di Persekutuan ada yang ratusan ribu elaun bulanan yang bagi saya tidak munasabah, tak masuk akal kerana ternyata melanggar semangat good governance yang kita bicarakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Tronoh Hall, Hotel Kinta Riverfront, di sini hari ini.

Anwar berkata bahawa beliau berharap agar perkara tersebut harus dilaksanakan segera namun dengan tidak bersikap gopoh atau mengambil tindakan tersebut di atas rasa dendam atau iri hati semata-mata.

Katanya lagi, kesemua tindakan yang dilakukan adalah berpaksikan kepada tujuan membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan pentadbiran telus.

Menurut Anwar, perkara tersebut adalah untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan manfaat dan kelebihan untuk kepentingan penyokong-penyokong sedia ada dan kroni daripada berterusan di dalam kerajaan baharu ini.

Terdahulu, Anwar telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama dengan barisan exco kerajaan negeri selama 10 minit di Dewan Tronoh, Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

“Tugas saya sebagai rakan mereka, adalah untuk mengingatkan keperluan, memenuhi janji kita aspirasi rakyat kita, kita menang dengan dukungan rakyat.

“Saya ingatkan,supaya dapat dijaga soal pentadbiran dan good governance, integrity supaya dapat menjamin kerajaan negeri Perak itu bersih daripada penyalahgunaan kuasa,pembaziran dan rasuah.

“Saya menghadap Sultan Perak, dan saya turut merasa gembiran kerana kesediaan Tuanku kerana memastikan hubungan yang cukup baik dengan kerajaan negeri dan memberikan nasihat yang membantu kemajuan dan kejayaan negeri Perak,”ujarnya lagi.

Anwar berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan juga harus mengambil contoh daripada kerajaan persekutuan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengumumkan potongan haji 10 peratus dan mengambil tindakan pembersihan sewajarnya.