KUALA LUMPUR: Sejak pandemik COVID-19, transaksi bisnes atas talian semakin rancak dan ia terus berkembang sebagai cara pilihan masa kini yang lebih mudah dan selesa buat para pengguna.

Menurut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), transaksi e-dagang Malaysia diunjur akan meningkat dari ASD7.1 bilion pada 2021 kepada ASD13.8 bilion pada 2025, dan Malaysia dijangka mengalami kadar pertumbuhan terbesar untuk keseluruhan aktiviti e-dagang di rantau ASEAN pada 35 peratus untuk tempoh dari 2018 hingga 2023.

Pasaran e-dagang Malaysia juga dilihat mampu mencapai nilai ASD30 bilion menjelang 2025.

Ketika pasaran atas talian semakin meluas dengan pilihan semakin banyak, semakin tinggi juga kes penipuan yang ditanggung pengguna.

Masalah penipuan atas talian menunjukkan trend yang amat membimbangkan, di mana untuk tempoh Januari hingga Julai 2022, 15,957 aduan diterima menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kes ‘scam’ adalah yang tertinggi pada 4,760 kes, harga mengelirukan (4,187) dan perkhidmatan mengelirukan (3,289).

Keadaan ini nyata tidak hanya merugikan pengguna, malah secara tidak langsung ia menyumbang kepada gangguan terhadap perkembangan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Pengguna keliru, takut tertipu, ketika mencari produk pada harga terendah pada masa sama mengharapkan kualiti yang terbaik, dan peniaga pula bergelut untuk bertapak dalam pasaran yang semakin luas.

Jadi bagaimana?

Maka di sini pentingnya pengiktirafan daripada pihak yang bertauliah, dan sebagai penyelesaiannya SIRIM memperkenalkan Trusted Mark Scheme (STMS), skim pensijilan baharu untuk mengiktiraf para peniaga atas talian berkenaan produk komunikasi, elektrik dan hibrid di bawah kriteria yang ditetapkan oleh SIRIM QAS International.

Pengguna akan lebih yakin dengan ketulenan dan kualiti barangan yang dijual oleh peniaga yang mempunyai tanda SIRIM.

Sebagai sebuah agensi pentauliahan yang memainkan peranan utama menjamin kualiti produk teknologi di negara ini sejak 1996, SIRIM memastikan kedai-kedai atas talian mematuhi 100 peratus keperluan-keperluan kawal selia yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta perkhidmatan pelanggan yang terbaik di bawah skim ini.

STMS, berdasarkan Skim Pensijilan Produk ISO/IEC 17065, membolehkan peniaga bertauliah memaparkan tanda Rakan Dipercayai (Trusted Partner) pada kedai atas talian mereka di platform e-dagang.

Dengan adanya tanda tersebut, ia membuktikan bahawa penjual adalah diiktiraf dan produk yang dijual dijamin selamat, asli dan berkualiti - menjadikan anda, para peniaga atas talian, lebih dipercayai dan diyakini.

Jadi, tunggu apa lagi? Dapatkan pensijilan STMS hari ini, mudah-mudahan perniagaan anda semakin maju hari demi hari.

Buat para pengguna, usah keliru lagi, pastikan ‘Ada SIRIM, baru beli!’

*Untuk maklumat lanjut, hubungi 603 5544 6400 / 6019 717 2627 (WhatsApp) atau emel [email protected]



*Artikel ini adalah kandungan berbayar