KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan membabitkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah sepanjang tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bagi kategori salah laku jenayah pula, sebanyak 3,570 kes direkodkan dengan 457 kes di sekolah rendah dan 3,113 kes di sekolah menengah.
Advertisement
Beliau berkata, tahun 2024 mencatatkan jumlah kes buli tertinggi iaitu sebanyak 7,681 kes membabitkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
"Antara tindakan disiplin yang diambil pihak sekolah termasuk amaran lisan dan bertulis, kelas tahanan, hukuman rotan, penggantungan persekolahan serta pembuangan sekolah, bergantung kepada tahap keseriusan kes," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai jumlah keseluruhan kes buli dan jenayah yang direkodkan di sekolah seluruh negara bagi tahun lalu serta langkah yang diambil kerajaan bagi menanganinya.
Menurut Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, peningkatan perekodan kes itu adalah hasil pertambahan tahap kesedaran serta pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru dan pentadbir terhadap garis panduan serta prosedur sedia ada.
Menurutnya, sehingga 19 November lalu, sebanyak 1,758 sekolah terbabit dalam audit keselamatan yang dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta menangani isu keselamatan secara berkesan.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan turut menyemak semula SOP berkaitan salah laku buli dan salah laku seksual selain melaksanakan reformasi sistem aduan bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.