Skip to main content

Malaysia

Parlimen: 37 mahasiswa meninggal dunia dalam lima tahun

Adam Adli Parlimen JaPen
Adam Adli Abdul Halim berkata, jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah mahasiswa dalam tempoh berkenaan, angka itu adalah kecil, namun kerajaan tetap komited memastikan sebarang insiden dapat dielakkan sepenuhnya. - Gambar JaPen

KUALA LUMPUR: Sebanyak 37 insiden meragut nyawa membabitkan mahasiswa di kampus universiti awam direkodkan sepanjang tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025. 

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, berkata daripada jumlah itu, 18 kes membabitkan kemalangan manakala 19 lagi adalah kematian mengejut. 

Advertisement

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah mahasiswa dalam tempoh berkenaan, angka itu adalah kecil, namun kerajaan tetap komited memastikan sebarang insiden dapat dielakkan sepenuhnya. 

"Kalau dibandingkan dengan keseluruhan jumlah mahasiswa sepanjang tempoh itu, kes ini agak kecil. Namun tentu sekali, kalau boleh kita mahu ia tidak berlaku langsung. 

"Kebanyakannya adalah kemalangan iaitu 18 kes, manakala 19 kes lagi adalah kematian mengejut. Alhamdulillah, tiada kes jenayah direkodkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Adam berkata kerajaan sentiasa memperkasakan langkah pencegahan bagi menjamin keselamatan mahasiswa di kampus. 

Katanya, arahan rasmi sudah dikeluarkan kepada semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta supaya melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala. 

"Langkah ini termasuk menyemak sistem keselamatan di kampus serta keberkesanan kawalan akses kamera litar tertutup (CCTV). 

"Kita juga mengarahkan pemasangan CCTV baharu di lokasi strategik serta memastikan laluan keselamatan yang terang dan selamat bagi kegunaan mahasiswa," katanya.

Kemudian kita juga pastikan ada semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang berkait dengan keselamatan dan kecemasan termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta respons pantas sekiranya berlaku sebarang insiden. 

"Manual rujukan permohonan dan penggunaan kenderaan bukan milikan universiti turut dibangunkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Task Force Kebajikan Mahasiswa Universiti Awam untuk kita pastikan penggunaan kenderaan dilaksanakan secara terancang, telus serta menepati piawaian keselamatan kewangan dan tadbir urus," katanya 

Beliau berkata, kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dijayakan bagi meningkatkan kehadiran polis komuniti dan juga rondaan keselamatan di sekitar kawasan kampus.

"Semua langkah ini adalah usaha kita pastikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang, keselamatan mahasiswa terus terbela dan juga warga kampus kita sentiasa selamat," katanya.

Must Watch Video