Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Waktu PdP Matematik sekolah rendah ditambah kepada 608 jam

71733233067_FadhlinaSidek.jpg
Fadlina Sidek berkata, peningkatan itu membabitkan tambahan 32 jam berbanding 576 jam sebelum ini, sebagai langkah memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid. - Gambar fail/JaPen

KUALA LUMPUR: Waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan ditingkatkan kepada 608 jam sepanjang tempoh enam tahun persekolahan menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027). 

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, peningkatan itu membabitkan tambahan 32 jam berbanding 576 jam sebelum ini, sebagai langkah memperkukuh penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid. 

Advertisement

Menurutnya, komitmen itu selaras dengan dapatan laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang menekankan kepentingan penguasaan numerasi kukuh dalam kalangan murid sekolah rendah. 

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan murid menguasai kemahiran asas Matematik dari peringkat prasekolah hingga menengah. 

"Peningkatan waktu PdP ini memberi lebih peluang kepada murid memahami konsep Matematik secara mendalam serta mengaplikasikannya dalam situasi harian. 

"Pertambahan masa juga membolehkan guru memberi perhatian khusus dan melaksanakan intervensi kepada murid yang memerlukan sokongan," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan instruction time bagi Matematik di sekolah rendah dari 576 jam kepada sekurang-kurangnya 1,000 jam agar setanding dengan negara lain seperti Kemboja, Myanmar dan Filipina. 

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, kementeriannya turut mengambil maklum kebimbangan mengenai peruntukan waktu PdP Matematik di Malaysia berbanding beberapa negara ASEAN lain yang menyertai SEA-PLM. 

"Justeru penelitian terperinci dibuat terhadap struktur masa pengajaran bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan semasa. 

"Berdasarkan rekod dasar terdahulu, semasa pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mulai 1993, waktu PdP Matematik diperuntukkan sebanyak 3.5 jam seminggu. 

"Bagaimanapun, ketika Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011, peruntukan itu dikurangkan kepada tiga jam seminggu susulan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), dengan fokus kepada pengukuhan bahasa. Peruntukan itu dikekalkan dalam KSSR (Semakan 2017)," jelasnya. 

Beliau menjelaskan, di bawah KP2027, waktu PdP Matematik ditingkatkan kepada 3.5 jam seminggu bagi Tahap I serta tiga jam seminggu bagi Tahap II dan Tahap III. 

Selain pertambahan waktu PdP, KPM juga kata beliau, turut melaksanakan program intervensi melalui Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) bagi memastikan murid menguasai literasi dan numerasi sebelum melangkah ke peringkat menengah. 

"Matematik merupakan antara mata pelajaran utama yang menjadi fokus dalam pelaksanaan PLaN," ujarnya.

Fadhlina berkata, secara keseluruhan, peningkatan masa pengajaran Matematik di bawah KP2027, digandingkan dengan pelaksanaan intervensi melalui PLaN, dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh asas literasi dan numerasi murid.

Menurutnya, asas literasi dan numerasi yang kukuh penting dalam membentuk pemikiran kritis, keupayaan menyelesaikan masalah serta kemahiran asas yang diperlukan untuk kejayaan dalam pendidikan seterusnya dan kehidupan seharian.

Must Watch Video