KUALA LUMPUR: Caruman baharu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan simpanan mereka menerusi kemudahan pengeluaran seperti i-Citra dan i-Sinar akan dikreditkan sepenuhnya ke dalam Akaun 1 untuk membina semula simpanan mereka yang telah dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, dengan itu pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus untuk Akuan 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

Menurutnya, berdasarkan statistik KWSP, selepas mengambil kira pengeluaran i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif yang berusia 18 hingga 55 tahun yang mempunyai simpanan asas iaitu RM240,000.

Angka itu katanya, menunjukkan penurunan berbanding 30 peratus pada 31 Disember 2020 sebelum kemudahan pengeluaran itu dilaksanakan.

BACA: Ahli KWSP mungkin hidup dalam kemiskinan pada usia tua akibat kekurangan simpanan

"Sudah pasti perkara ini membimbangkan, majoriti ahli dijangka tidak mencukupi simpanan yang mencukupi bagi sekurang-kurangnya menampung keperluan asas kelak.

"Justeru dalam usaha menambah baik simpanan ahli yang mengeluarkan i-Sinar dan i-Citra, kerajaan telah meletakkan caruman baharu yang diterima ahli yang terlibat akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 sepenuhnya sehingga keseluruhan jumlah pengeluaran Akaun 1 diganti semula," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Pelbagai langkah dilakukan pastikan ahli KWSP cukup simpanan


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan simpanan di Akaun 1 KWSP ditingkat semula.

Sementara itu menjawab soalan asal, Che Abdullah mengenai pelan strategi kerajaan untuk menyokong keselamatan persaraan rakyat yang semakin mengecil susulan kebenaran pengeluaran wang KWSP dalam pelbagai skim di bawah pakej rangsangan ekonomi, beliau berkata, kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan berterusan ke atas Skim KWSP sedia ada.

Antaranya kata beliau, pengeluaran umur 55 tahun dan pengeluaran umur 60 tahun yang lebih fleksibel, tempoh tanggungan mencarum iaitu ahli dan majikan wajib mencarum sehingga umur 75 tahun sekiranya ahli masih bekerja, menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berumur 60 tahun dan ke atas serta memperkenalkan i-Saraan selain i-Suri.

Selain itu ujarnya, KWSP juga akan memperkenalkan pengeluaran baharu pada tahun ini untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful, menyediakan khidmat nasihat secara percuma dan menerusi program Belanjawanku.