Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Bersama tidak akan sertai mana-mana gabungan politik – Rafizi

Rafizi berkata, keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan tidak mahu terjebak dalam percaturan politik yang menurutnya semakin mencelarukan rakyat. - Astro AWANI
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan tidak mahu terjebak dalam percaturan politik yang menurutnya semakin mencelarukan rakyat. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

BUKIT KATIL: Parti Bersama kekal dengan pendirian untuk bergerak secara bersendirian tanpa menyertai mana-mana gabungan politik meskipun pendekatan itu mempunyai risiko tersendiri.

Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan tidak mahu terjebak dalam percaturan politik yang menurutnya semakin mencelarukan rakyat.

Malah, beliau secara berseloroh berkata, ahli dan penyokong Bersama sendiri mungkin tidak akan menerima sekiranya parti itu tiba-tiba membuat keputusan menyertai gabungan lain.

Advertisement

"Saya rasa kalau Bersama buat keputusan tiba-tiba nak masuk, nak bincang dengan gabungan ke apa, dia orang ini akan sembelih saya.

"Keadaan politik Malaysia sekarang ini jadi kucar-kacir sebab gabungan. Dan gabungan ini atas alasan pragmatik kononnya untuk berkuasa," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa perubahan pembahagian kerusi antara parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 memperlihatkan bagaimana kerjasama politik boleh berubah pada saat akhir.

Beliau merujuk kepada percaturan melibatkan Pakatan Harapan (PH), Bersatu serta kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya menambahkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Justeru, beliau percaya rakyat akhirnya akan mencari alternatif kepada budaya politik sedemikian, termasuk parti yang berani mempertahankan prinsip tanpa bergantung kepada gabungan lain.

"Kalau nak kira, Bersama ambil risikolah kerana conventional wisdom ialah kena ada gabungan semua.

"Tapi saya rasa parti-parti politik juga terlalu yakin dengan rakyat itu kononnya akan kekal dengan dia sampai bila-bila. Sebenarnya rakyat akan berubah-ubah," katanya.

Sementara itu, Rafizi berpuas hati dengan persiapan Bersama yang mempertaruhkan calon di 16 kerusi DUN, sekali gus menjadikannya parti kedua paling banyak bertanding pada PRN kali ini.

Katanya, meskipun baru berusia lima bulan, Bersama berjaya menggerakkan penyokong untuk mengiringi calon di setiap kawasan yang ditandingi.

Beliau yang turut meninjau proses penamaan calon di Tangga Batu, Klebang dan Sungai Udang berkata, setakat ini tiada laporan mengenai masalah atau bantahan terhadap calon parti berkenaan.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.

 

Must Watch Video

Advertisement