KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 kes pembalakan haram telah direkodkan di seluruh negara pada 2022 dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 60 kes, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata 11 kes lagi telah direkodkan di Perak, diikuti Kelantan (10 kes), Sabah (empat kes), Selangor (dua kes) serta masing-masing satu kes di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

"Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut telah didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 Tahun 1968) di Sabah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang ingin tahu kadar kes pembalakan haram di setiap negeri sejak 2022 serta keberkesanan penggunaan teknologi baharu seperti dron dapat mengurangkan aktiviti pembalakan haram.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak turut mengambil pendekatan penggunaan beberapa teknologi bagi mengatasi masalah pembalakan haram.

Beliau berkata teknologi itu antaranya adalah sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) di Semenanjung, sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) di Sarawak serta sistem aplikasi iForSabah di Sabah dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hutan di negara ini.

"Sistem ini menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS), penderiaan jarak jauh dan imej satelit beresolusi tinggi yang boleh mengesan sebarang perubahan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Sistem ini membantu pasukan rondaan dan operasi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti kesalahan hutan di lapangan dengan maklumat lokasi yang lebih spesifik.

"Selain itu, teknologi seperti dron juga digunakan bagi membantu membanteras jenayah hutan melalui pemantauan udara di lokasi-lokasi tertentu," katanya.

-- BERNAMA