KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa tiada langkah membasmi kemiskinan bagi lapan daerah di Sabah dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada minggu lalu.

Membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata peruntukan sebanyak RM393.8 bilion sepatutnya merangkumi aspek yang benar-benar diperlukan.

"Saya harap kewangan begitu besar harus disalurkan kepada sektor-sektor yang amat memerlukan. Contohnya, diumumkan peruntukan untuk sekolah-sekolah menengah, sekolah-sekolah rendah ada... Tapi sebahagian besar apabila saya lihat ia berada di Semenanjung, di Sabah mana?

".... yang ada pun saya tengok sekolah-sekolah rendah, yang ada masih berpapan. Kalau pergi Kota Belud, ia tidak jauh dari Kota Kinabalu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lapan daerah di Sabah masih dalam kategori termiskin di Malaysia iaitu Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan.

Membahaskan lagi, Mohd Shafie berkata, perhatian perlu diberi kepada kawasan bandar dan luar bandar dalam usaha membangunkan negara. 

Beliau menambah, peruntukan sedia ada perlu dimanfaatkan untuk kemudahan bekalan elektrik dan jaringan internet di kawasan luar bandar khususnya.

"Kalau kita nak wujudkan sekolah, belanjalah sebanyak mungkin bukan hanya tandas, bukan perbelanjaan komputer tapi penyediaan bekalan elektrik... kita bagi tablet, tapi elektrik tidak ada, jaringan internet tidak ada," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut menggesa kerajaan memastikan syarikat yang dilantik dalam pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, mampu melaksanakan projek berkenaan. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui proses pembinaan LPB di Sabah amat lambat berbanding di Sarawak.

Justeru, beliau mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memantau dan memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar.