KUALA LUMPUR: Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan 2020 akan berlangsung buat pertama kalinya secara maya pada 13 Mac depan.

Setiausaha Agung Gerakan Mah Kah Keong berkata penganjuran persidangan secara maya itu diputuskan dalam satu mesyuarat semalam, sebagai langkah membendung penularan pandemik COVID-19.

"Gerakan telah mengumumkan penangguhan persidangan yang sepatutnya berlangsung pada 22 Nov tahun lepas kerana keadaan wabak COVID-19 semakin parah ketika itu dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga memberi pelanjutan kepada Gerakan sehingga Jun tahun ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata persidangan perwakilan parti itu akan dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ia merupakan persidangan kali pertama selepas parti itu menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, persidangan itu juga telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihaknya akan memastikan perjalanan mesyuarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

-- BERNAMA