PAS sangat tidak berpuashati dengan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Pilihan Raya Johor Baharu baru-baru ini terhadap petisyen PAS untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan parlimen Pulai.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata keputusan yang dibuat oleh hakim tidak dapat diterima kerana hanya bersandarkan kepada dua udang-undang sahaja.

Katanya, keputusan tersebut sangat meragukan dan lemah untuk membatalkan petisyen yang telah difailkan oleh seorang pengundi di Pulai.

"Kita (PAS) melihat terdapat kelemahan dalam penghakiman yang dibuat pada 29 Julai lalu untuk petisyen parlimen Pulai yang mana petisyen kami ditolak.

"Hujah yang digunakan oleh hakim sangat lemah dan membuatkan kami tidak puashati jadi keputusan yang dibuat untuk mengemukakan rayuan terhadap kes ini dan lima kes lain," katanya ketika dihubungi astro awani.

Pada PRU13 yang lalu, Salahuddin tewas ditangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti 3,226 undi.

Sementara itu harakahdaily hari ini melaporkan, PAS memfailkan rayuan ke atas enam petisyen yang tolak melibatkan empat kawasan parlimen dan dua bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara kawasan tersebut adalah Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Titiwangsa dan Pulai di Johor, manakala bagi kawasan DUN pula melibatkan kerusi di Selising, Kelantan dan Manjoi di Perak.

Peguam Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi dipetik sebagai berkata pihaknya telah memfailkan rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan keputusan telah diambil untuk memfailkan rayuan beberapa kawasan petisyen yang telah ditolak.

"Hari ini kita telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi enam kawasan iaitu melibatkan empat bagi parlimen dan dua Dun," katanya.

Jelasnya lagi, dari 16 petisyen yang dikemukakan 12 daripadanya telah ditolak dan masih ada empat petisyen yang belum didengari serta dibuat keputusan.